Kesan pembalakan dan pengondolan hutan secara berleluasa telah memberi impak terhadap alam sekitar termasuk berlaku banjir baru-baru ini.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kesan pembalakan dan pengondolan hutan secara berleluasa telah memberi impak terhadap alam sekitar termasuk berlaku banjir baru-baru ini.

Ia bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa malah berlaku kerosakan harta benda seperti perumahan, kawasan pertanian dan sebagainya.

Justeru Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama 28 pertubuhan bukan kerajaan (NG0) bekerjasama menyediakan memorandum kepada kerajaan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi hal menangani masalah yang timbul.

Koordinator Nasional, Biro Alam Sekitar & Krisis Iklim Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj dalam sidang media maya hari ini berkata, memorandum itu mahu kerajaan menangguhkan penebangan hutan simpan kekal dan hutan kerajaan yang belum diwartakan.

“KeTSA harus mengadakan satu maklumat rekod berpusat mengenai aktiviti pembalakan, perlombongan atau ekonomi di hutan untuk diterbitkan kepada orang awam,” katanya.

Selain itu, kerajaan, kata Sharan perlu mengukuhkan Akta Perhutanan Negara 1984 untuk mewajibkan penglibatan orang awam sebelum memansuhkan hutan simpan kekal serta sebelum memberi konsesi balak.

Selain itu KeTSA harus meningkatkan semula kawasan hutan simpan kekal, katanya.- MalaysiaGazette