KUALA LUMPUR – Selangor memperkenalkan satu inisiatif yang berkesan dan lebih sistemasik bagi memantau wabak koronavirus dengan mewujudkan Bilik Gerakan Covid-19 di Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC).

Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata, pusat kawalan itu akan merancang pengurusan bantuan, menyokong operasi kawalan bersama agensi kerajaan Persekutuan termasuk memantau kes pandemik di negeri ini.

“Pusat kawalan telah menelan belanja sebanyak RM6 juta serta mempunyai keupayaan untuk beroperasi selama 24 jam yang lengkap dengan jaringan internet berkelajuan tinggi.

“Ia turut dilengkapi dengan pusat data hibrid dan sistem komunikasi berpusat serta Smart Data Platform yang mempunyai keupayaan analisis data raya,” kata agensi itu menerusi kenyataan hari ini.

SSOC dibangunkan pada Disember tahun lalu di Dewan Jubli Perak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menurut SSDU, khidmat ini merangkumi lima fungsi bersepadu iaitu arahan, kawalan, komunikasi, komputer, kolobrasi dan kerjasama. -MalaysiaGazette