BEIJING – China meluluskan undang-undang yang membenarkan pengawal pantainya melepaskan tembakan ke kapal asing, tindakan yang akan mengeruhkan pertikaian mengenai perairan.

China dan Jepun terlibat dalam pertikaian kedaulatan maritim di Laut China Timur selain dengan beberapa buah negara Asia Tenggara mengenai Laut China Selatan.

Negara itu telah menghantar pengawal pantainya untuk mengusir kapal-kapal nelayan dari negara lain, yang mana kadang kala menyaksikan kapal-pakal tersebut tenggelam.

Badan perundangan tertinggi China, Jawatankuasa National People’s Congress, telah meluluskan Undang-Undang Pengawal Pantai semalam, menurut laporan media negara itu.

Menurut rang undang-undang yang diterbitkan, pengawal pantai dibenar menggunakan ‘semua kaedah yang perlu’ untuk menghenti atau menghalang ancaman kapal-kapal asing, lapor Reuters.

Rang undang-undang itu menyatakan situasi pengunaan senjata yang berbeza – menerusi tangan, kapal atau udara – boleh digunakan.

Rang undang-undang itu membenarkan anggota pengawal pantai memusnahkan struktur yang dibina negara lain di atas terumbu yang dituntut China selain membenarkan mereka menaiki dan memeriksa kapal-kapal asing di perairan yang dituntutnya.

Rang Undang-undang itu turut memberi kuasa kepada pengawal pantai untuk mewujudkan zon penyingkiran sementara ‘seperti diperlukan’ untuk menghalang kapal dan kakitangan lain daripada memasukinya.

Mengulas mengenai kebimbangan pihak lain, jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, undang-undang tersebut selaras dengan amalan antarabangsa.

Artikel pertama rang undang-undang itu menjelaskan bahawa undang-undang diperlukan untuk menjaga kedaulataan, keselamatan dan hak maritim China.

Undang-undang tersebut dilaksanakan tujuh tahun selepas China menggabungkan beberapa agensi penguakuasa undang-undang maritimnya untuk membentuk biro pengawal pantai.

Biro tersebut diletakkan di bawah Polis Bersenjata Rakyat pada 2018 yang mana ia menjadi cawangan angkatan tentera. – MalaysiasiaGazette