KUALA LUMPUR – Tidak tahan bunyi bising motosikal yang dipandu seorang remaja untuk berlumba, dua lelaki bertindak membakarnya dalam satu kejadian di Jalan Aman Tambahan, Puchong dekat sini baru-baru ini.

Kegiatan mereka terbongkar selepas pihak polis menahan kedua-dua suspek masing-masing berusia 24 dan 39 tahun di Kampung Sri Aman Tambahan Hilir, Batu 13, Puchong Isnin lalu.

Sumber berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 19 tahun itu meninggalkan motosikal jenis Modenas Kriss di tepi jalan kerana mengalami kerosakan

Jelas beliau, mangsa datang semula ke lokasi kejadian bersama barangan alat ganti namun mendapati motosikalnya berada dalam longkang dalam keadaan terbakar.

“Susulan itu, dia (mangsa) menerima satu rakaman video menerusi aplikasi WhatsApp daripada kenalannya yang menunjukkan seorang lelaki memegang sebilah parang membakar motosikal tersebut.

“Akibat kejadian itu, motosikal suspek mengalami kerosakan secara keseluruhan dengan nilai kerugian RM1,000,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut sumber,  bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya menahan dua lelaki yang disyaki terlibat.

“Hasil soal siasat kedua-dua suspek mengaku membakar motosikal mangsa susulan tidak tahan bunyi bising dari motosikal tersebut kerana penunggangnya sering berlumba di kawasan penempatan mereka,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette