Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Desakan undur diri ke atas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya dibayangi beberapa sebab antaranya kerana kes mahkamah yang sedang dilalui Presiden UMNO itu.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, kes mahkamah sudah pasti akan mengheret reputasi dan nama baik UMNO yang bermasalah dan memberi kesan negatif terhadap keyakinan ahli-ahlinya terhadap kewibawaan parti tersebut.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia menjelaskan, prestasi UMNO di bawah kepimpinan Ahmad Zahid juga boleh dipersoalkan memandangkan beliau tidak mempunyai hala tuju untuk memimpin parti itu maju ke hadapan lebih-lebih lagi apabila UMNO akan berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi.

“Selain itu, pakatan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para pemimpin DAP bagi merampas kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membuatkan ramai di kalangan pemimpin parti UMNO kesal kerana ia bertentangan dengan prinsip perjuangan parti tersebut.

“Hal yang sama juga berlaku di peringkat akar umbi yang memprotes kerjasama dengan parti-parti yang tidak sehaluan dengan UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Dr Syed Agil Alsagoff.

Syed Agil menambah, Ahmad Zahid turut dibelenggu dengan isu keengganannya menamakan calon Timbalan Perdana Menteri dari UMNO yang menunjukkan beliau mempunyai pendirian tersendiri.

Tambah beliau, Pengerusi Barisan Nasional itu jelas ingin menentukan kelestarian kepimpinan tertinggi parti itu mengikut acuan dirinya dan bukannya berdasarkan kredibiliti bakal penggantinya.

“Pada masa sama, Ahmad Zahid juga berdepan isu tindak berdolak-dalik terhadap ugutan beliau untuk membatalkan sokongan UMNO terhadap Kerajaan Pakatan Harapan yang telah dipersoalkan memandangkan beliau dilihat memeterai ‘perang damai’ bersama PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Apabila PAS masih menaruh keyakinan terhadap Kerajaan PN membuktikan bahawa UMNO pimpinan Ahmad Zahid akan berjuang seorang diri tanpa PAS di sisinya sekaligus menunjukkan UMNO gagal mempengaruhi parti Islam itu untuk bersekongkol menyingkirkan PPBM,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pemimpin UMNO hanya tau sebut “suara akar umbi “ tetapi gagal menyelami “denyut nadi” nya. Mereka hanya duduk dikelilingi pengampu2 dengan mengeluarkan statemen2 yg boleh memberi “ income” kpd mereka.

    Jika nak tau betapa meluatnya akar umbi kpd pemimpin2 mereka tengok saja kepada perbuatan dan tingkah lakunya. Taraf pemimpin tidak akan membuat kerja2 menaikkan sepanduk utk meminta pemimpin nya letak jawatan atau mengedar whatsapp memburukkan pemimpinnya maupun memaki hamun di media sosial. Itu adalah perkerjaan “orang2 bawahan” atau dlm lain perkataan …….itu lah denyut nadi rakyat yg sebenarnya.

    Tak kan itu pun tak faham……bonggok!!!!

Comments are closed.