Seorang penghantar makanan e-hailing mati di lokasi kejadian selepas merempuh belakang lori tunda kenderaan dalam kejadian hari ini di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Malang tak berbau.

Seorang penghantar makanan e-hailing maut akibat cedera parah di kepala selepas merempuh sebuah lori tunda di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini hari ini.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.20 tengahari selepas susur keluar dari Arah Jalan Kuching kata Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Kuala Lumpur,  Asisten Komisioner Zulkifli Yahya.

“Siasatan polis mendapati kemalangan itu berlaku apabila lori tunda bergerak di lorong kiri telah memperlahankan kenderaan untuk mengambil kereta yang rosak dan tersadai.

“Tiba-tiba mosikal EX5 berwarna merah ditunggangi mangsa yang bergerak dari arah yang sama telah melanggar tepat di bahagian belakang lori tunda itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan, mangsa,  Ahmad Zaidi Ahmad Zamri, 24, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa yang berasal dari Seksyen 20, Shah Alam itu telah dibawa ke Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Manakala pemandu lori tunda,  Ahmad Farid Mohamad Sani, 37, yang berasal dari Kampung Melayu Sungai Sering, Ampang Selangor pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette