Sebahagian penganut Hindu menjunjung belanga berisi susu semasa ritual keagamaan sebagai persiapan terakhir sempena sambutan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 20 JANUARI 2019

SUASANA politik Kedah kembali bergelora dengan kenyataan YAB Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah mengenai Cuti Thaipusam. Pelbagai alasan diberi untuk menafikan hak kaum Hindu negeri Kedah. Ini bukan kali pertama, Menteri Besar Kedah dari Parti PAS berbuat demikian terhadap masyarakat India di negeri Kedah. Sejurus selepas dilantik sebagai MB Kedah perobohan kuil dilaksanakan dengan kadar segera. Apabila pemimpin India dari pelbagai parti politik mengecam tindakan beliau, MB Kedah mengelar mereka mabuk. Akhirnya timbul isu Cuti Peristiwa Thaipusam. Apakah masalah sebenar Menteri Besar Kedah ini?

Selepas Kerajaan Perikatan Nasional didirikan di Kedah, tidak ada wakil dari masyarakat India dalam kerajaan, maka YB Azman Bin Nasruddin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India. Sejak Beliau memegang jawatan ini, tidak pernah keluar kenyataan untuk justifikasi tindakan kerajaan Kedah terhadap masyarakat Hindu atau India secara umumnya. Apakah fungsi portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India? Sekiranya ia hanya sebagai simbolik untuk sandiwara politik saya memohon jasa baik YAB Menteri Besar Kedah supaya menggugurkan portfolio ini yang tidak membawa makna kepada rakyat negeri Kedah khususnya masyarakat India.

Saya sungguh terkilan kaedah isu cuti peristiwa dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Adakah Cuti Peristiwa ini akan merugikan negeri Kedah berbilion? Atau trilion? Ramai juga memberi alasan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
tidak ada sambutan perayaan Thaipusam, maka tidak perlu cuti peristiwa. Jawapannya mudah,perayaan Thaipusam adalah merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun. Maka, penganut Hindu masih boleh menunaikan tanpa hadir ke kuil. Oleh demikian, penganut Hindu masih boleh merayakan bersama keluarga mereka. Tidakkah pemberian cuti peristiwa Thaipusam akan menaikkan Imej kerajaan Pas dalam kalangan masyarakat Hindu?

Terdapat satu teori tentang tindak tanduk MB Kedah terhadap masyarakat Hindu. Adakah MB Kedah cuba membalas dendam ke atas masyarakat India kerana tidak menyokong calon Pas semasa PRU14? Sekiranya teori ini tidak tepat, mengapa MB Kedah terus menerus menyakiti masyarakat India Kedah (KADARAM = nama asal Kedah)? Sepanjang tindakan tidak bertamadun MB Kedah berterusan di Negeri Kedah Darul Aman, tidak ada kenyataan dari mana-mana pemimpin Perikatan Nasional mahupun Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin. Adakah Abah dan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional menghalalkan tindakan MB Kedah? Adakah isu melibatkan masyarakat minoriti tidak mendapat perhatian dari pimpinan tertinggi Perikatan Nasional kerana tidak memerlukan undi dalam PRU15?

Mungkin ini boleh menjadi kenyataan kerana kerajaan bakal dibentuk selepas PRU15 dengan andaian gabungan BN dan PN adalah berpaksikan kerajaan Melayu. Maka, apabila isu melibatkan masyarakat minoriti, semua bertindak menyepikan masing-masing termasuk Abah. Saya juga tertanya mana perginya pimpinan menteri-menteri kanan? Pendekatan Kerajaan Perikatan Nasional menghadapi isu-isu melibatkan masyarakat India seperti kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu. Abah dan Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional harus berterus terang kepada masyarakat India sekiranya tidak memerlukan undi mereka secara total. Atau mungkin Abah takut mungkin hilang sokongan dari Pas dalam kerajaan Perkatan Nasional sekiranya tegur MB Kedah?

Akhir kata, sayonara kepada calon Pas di Parlimen Kota Raja, Kuala Selangor, Sepang dan Shah Alam dalam PRU15. Mungkin ada lagi masa Abah atau Menteri kanan Dato’ Seri Azmin Ali boleh memperbetulkan kesilapan MB Kedah.

K. Gunasekaran A/L Kuppan
Penyokong Hampa Perikatan Nasional