KUALA LUMPUR – Akar umbi UMNO mengajak seluruh kepimpinan parti untuk sama-sama berganding bahu membantu melancarkan usaha Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memperkasakan parti.
Ketua Wanita Cawangan Kampung Baru, Sungai Jempul, Pahang, Rosni Zahari berkata, Presiden UMNO itu pastinya memerlukan mereka kekal setia bersamanya memperjuangkan misi dan visi perjuangan parti.
“Dikala sukar ini, marilah kita semua membantu Presiden dengan kudrat yang ada untuk memastikan UMNO bangkit gagah perkasa seperti sedia kala,” katanya yang dipetik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.
Menurut beliau, Ahmad Zahid pastinya memerlukan orang seperti mereka, yang kekal setia kepada perjuangan UMNO.
Katanya, kepimpinan yang ada hari ini umpama sebatang lidi yang hanya mampu mencucuk sate, tetapi kalau diikat kuat, ia mampu membersih satu halaman rumah.
Rosni turut mengecam tindakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Helmi Buang dan Ketua Pemuda Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin yang mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai presiden parti.
Tegas beliau, kedua-dua Ketua Pemuda itu tidak layak menjadi pemimpin masa hadapan kerana tidak memahami kehendak peruntukan Perlembagaan UMNO.
“Sekarang ini ada dua Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan seorang Ketua UMNO Bahagian yang mendesak Presiden untuk meletak jawatan.
“Pada hemah saya, mereka ini, termasuk saudara saya (Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman) mungkin perahunya sudah dimasuki air dan hampir karam,” katanya.
Katanya, Ahmad Zahid dipilih oleh perwakilan daripada 191 bahagian yang bersidang pada tahun 2018 setelah bertembung dengan dua calon lain, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Peruntukan Perlembagaan UMNO jelas memperuntukkan fungsi, tugas dan tanggungjawab serta tempoh khidmat presiden, dan sehingga pemilihan akan datang, presiden yang menang dipilih ini wajib kita hormati dan iktiraf.
“Ahmad Zahid adalah satu-satunya Presiden UMNO masa kini yang tidak memegang jawatan Perdana Menteri. Ini merupakan sejarah yang akan terpahat dan diingati oleh anak cucu kita nanti.
“Beliau juga satu-satunya presiden yang menjaga UMNO dengan akaun parti dibekukan,” katanya. – MalaysiaGazette

















Pemimpin UMNO hanya tau sebut “suara akar umbi “ tetapi gagal menyelami “denyut nadi” nya. Mereka hanya duduk dikelilingi pengampu2 dengan mengeluarkan statemen2 yg boleh memberi “ income” kpd mereka.
Jika nak tau betapa meluatnya akar umbi kpd pemimpin2 mereka tengok saja kepada perbuatan dan tingkah lakunya. Taraf pemimpin tidak akan membuat kerja2 menaikkan sepanduk utk meminta pemimpin nya letak jawatan atau mengedar whatsapp memburukkan pemimpinnya maupun memaki hamun di media sosial. Itu adalah perkerjaan “orang2 bawahan” atau dlm lain perkataan …….itu lah denyut nadi rakyat yg sebenarnya.
Tak kan itu pun tak faham……bonggok!!!!