Jeneral Tan Sri Affendi Buang

KUALA LUMPUR – Penubuhan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun lepas bakal melengkapkan keupayaan domain peperangan siber dan elektromagnetik negara.

Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berkata, keupayaan itu akan terus diperkasakan agar ATM berupaya menangani sebarang ancaman siber.

Lagi pun, katanya, dalam dunia tanpa sempadan dan di persada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), ia amat bergantung kepada kelangsungan beroperasi dalam domain siber, katanya dalam perutusan khas sempena tahun baharu 2021 di laman rasmi Facebook ATM hari ini.

Affendi juga berharap ATM menjadikan perubahan teknologi yang pesat dan IR4.0 yang diuar-uarkan sejak 2011 sebagai petanda aras untuk menjadi warga ATM yang mahir teknologi.

“Sekali gus, mampu mengoperasikan segala peralatan dan sistem dengan lebih efisien. Pada masa sama, mereka juga mampu menghasilkan sendiri program atau perisian yang diperlukan tanpa perlu bergantung kepada pihak luar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, aset ATM ketika ini berada di tahap kesiagaan yang memuaskan dan ia dapat dibuktikan dengan penglibatan pihaknya dan penggunaan asetnya secara berterusan bagi melaksanakan tugas hakiki seperti rondaan, pemantauan, pengumpulan maklumat dan tugas-tugas sokongan.

“Aset-aset diatur gerak untuk penugasan seperti Operasi Benteng (Op Benteng) dan Operasi Penawar tanpa henti termasuk penerbangan sokongan dan pengoperasian Hospital Medan sepanjang menguruskan pandemik Covid-19 ini.

“Selain itu, rancangan perolehan aset dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) telah diluluskan Kementerian Pertahanan dan dengan perolehan aset-aset ini, tahap kesiagaan akan dipertingkatkan sekali gus dapat menyumbang kepada kejayaan operasi yang sedang dilaksanakan,” katanya.

ATM, menurutnya, perlu memperkukuh dan memperkemaskan pelaksanaan Op Benteng bagi menghalang pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara kerana dikhuatiri risiko penyebaran semula virus boleh berlaku yang akan menggagalkan usaha kerajaan untuk menghentikan penularan Covid-19. – MalaysiaGazette