Norsyahrin (kiri) menunjukkan kepada Roslan (dua dari kiri) antara barangan sumbangan yang akan diagihkan melalui fasa pertama misi bantuan pasca banjir ke Johor hari ini. Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Timbalan Pesuruhjaya Norhafifi Ismail.

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menjalin kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengagihkan sumbangan bernilai hampir RM500,000 kepada mangsa banjir di tiga buah negeri bermula hari ini.

Inisiatif Misi Bantuan Pasca Banjir menerusi tiga pihak itu antaranya menghantar barangan termasuk mesin basuh, barangan keperluan harian, sabun mencuci pakaian serta pelbagai barangan kegunaan harian bernilai RM420,000.

Tiga negeri terbabit ialah Johor, Pahang dan Kelantan.

Usaha tersebut diambil sebagai meringankan beban mangsa banjir ketika negara sedang mendepani pandemik Covid-19 selain menyokong usaha kerajaan yang turut menyalurkan pelbagai bantuan kepada mereka yang terkesan.

Timbalan Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon berkata, misi bantuan pasca banjir itu bukanlah pertama kali dilaksanakan malah, DPMM sentiasa menggerakkan jawatankuasa kebajikan bencana terutama ketika negara mula dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan menerusi fasa pertama.

“Ketika PKP pertama pada Mac tahun lepas, DPMM seluruh negara menggerakkan anggota kami untuk mengagihkan keperluan harian terutama bagi golongan miskin tegar dan B40 bagi memastikan mereka tidak terpinggir.

“Berikutan banjir yang melanda beberapa negeri tempohari, DPMM sekali lagi menggerakkan jawatankuasa yang sama dan Alhamdulillah kami menerima sokongan yang baik dari rakan penaja serta agensi kerajaan untuk kami laksanakan program berkongsi rezeki dengan golongan yang terkesan dengan banjir ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata beliau, inisiatif itu turut menerima sumbangan daripada penaja utama, syarikat pengeluar pakaian Muslimah, Sabella Holdings Sdn Bhd yang turut bermurah hati memperuntukkan 4,000 pasang baju kurung bernilai RM320,000 untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Selain itu, ia turut menerima sumbangan berbentuk beras, pencuci lantai dan pinggan, pakaian dan beberapa keperluan harian lain untuk dihantar kepada mangsa banjir.

Tiga buah negeri yang menjadi tumpuan pengagihan bantuan melalui Misi Bantuan Pasca Banjir ini ialah Johor, Pahang dan Kelantan, ujarnya.

Kutipan sumbangan turut dilaksanakan melalui penajaan di laman web khusus kutipan derma, sumbangan.com selama 12 hari bermula 10 Januari lalu yang turut berjaya mengumpul RM100,000 dari orang ramai termasuk daripada usahawan yang menjadi tulang belakang DPMM dan ahli PPIM.

“Bagi fasa pertama, sebanyak enam buah lori APM digunakan bagi mengangkut barangan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kota Tinggi, Masai, Pasir Gudang dan Skudai di Johor,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab menerusi kenyataan sama berkata, inisiatif itu adalah satu usaha yang baik bagi membantu mangsa banjir dan pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada NGO.

“Penghantaran akan dibuat kepada Jawatankuasa Bencana Negeri dan akan berhubung dengan peringkat daerah bagi tujuan pengagihan.

“Kami membantu dari segi logistik dan ini bukan kerjasama baharu kerana kami pernah melaksanakan usaha seumpama ini bagi membantu mangsa bencana,” ujar beliau. – MalaysiaGazette