KUALA LUMPUR – AirAsia X menasihatkan orang awam supaya berwaspada dengan mesej penipuan melalui aplikasi WhatsApp yang melibatkan AirAsia X atau syarikat berkaitannya.

Menurutnya, mesej berkenaan meminta penerima untuk membuat bayaran ke dalam akaun yang dikatakan milik salah sebuah syarikat pengurusan kredit.

”Kami ingin menjelaskan dan menasihatkan orang awam untuk tidak berkongsi sebarang maklumat sulit kepada sesiapa sahaja melalui sebarang mesej atau panggilan telefon yang mungkin diterima daripada AirAsia X Berhad,” katanya dalam kenyataan di sini.

Syarikat penerbangan itu menegaskan syarikat dan kakitangannya sama sekali tidak mempunyai penglibatan dengan amalan penipuan ini dan tidak pernah melakukan permintaan sedemikian.

Tegasnya, AirAsia X tidak berkomunikasi dengan para tetamunya melalui mana-mana aplikasi sembang seperti WhatsApp.

Semua pengumuman rasmi AirAsia X akan diumumkan di laman rasmi kumpulan airasia melalui media sosial dan media massa.

AirAsia X memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan jenama AirAsia X atau airasia untuk melakukan penipuan atau kecurian identiti.

Jika ada keraguan, sila laporkan penipuan yang disyaki menggunakan jenama AirAsia X dan airasia melalui saluran komunikasi rasmi airasia seperti berikut:

Twitter: www.twitter.com/airasia
Instagram: www.instagram.com/airasia
Facebook: www.facebook.com/airasia

Orang ramai diingatkan bahawa AirAsia X tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan berikutan penipuan ini yang tidak melibatkan kakitangan rasmi syarikat. – MalaysiaGazette