Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menutup sementara tiga pejabatnya, termasuk dua di Putrajaya dan satu di Wangsa Maju untuk kerja sanitasi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Komunikasi LHDN, antara yang akan ditutup mulai esok, 29 Januari ialah Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Putrajaya Menara TM, Jalan Semarak dan Cawangan Siasatan Putrajaya.

Manakala Cawangan Wangsa Maju di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur, masih ditutup sejak 25 Januari lalu.

“Semua tiga pejabat itu akan beroperasi semula pada 2 Februari ini, bagi memberi laluan kerja sanitasi sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19.

“Dalam tempoh penutupan sementara ini, pelanggan disarankan melakukan semua urusan secara dalam talian,” kata kenyataan itu.

Namun, bagi pembayar cukai yang memerlukan perkhidmatan secara bersemuka boleh mengunjungi mana-mana kaunter perkhidmatan LHDN yang berhampiran.

Sila pastikan semua prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19 yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi sepenuhnya.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 03-8911 1100 (luar negara), Hasil Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. – MalaysiaGazette