Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (kiri) berbincang dengan para peniaga berkaitan pemindahan tapak perniagaan mereka di Pasar Pagi Sungai Long, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2021.

CHERAS – Lebih 100 peniaga Pasar Pagi Sungai Long di sini lega apabila permohonan mereka untuk menjalankan operasi perniagaan mereka dibenarkan sebelum apa-apa kata putus diberikan Majlis Perbandanan Kajang (MKPj).

Menurut pengerusi persatuan Peniaga-peniaga Kecil Bandar Sungai Long, Fanny Lim Foong Kuan pihaknya melahirkan rasa syukur kepada pihak MPKj sedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak peniaga.

“Setidak-tidaknya kami ada ruang perbincangan dan kami boleh berniaga sehingga Rabu depan. Kami rasa lega. Jadi kami berharap perbincangan dengan MPKj akan berjalan lancar. Apa-apa pun kalau boleh benarkan kami berniaga.

“Itu harapan kami sehingga satu pasar kekal dibina di sini,” katanya ketika ditemui di Pasar Pagi Sungai Long hari ini.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (kiri) berbincang dengan para peniaga berkaitan pemindahan tapak perniagaan mereka di Pasar Pagi Sungai Long, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2021.

Kata putus itu dicapai selepas campur tangan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.

Menurut Lim, ia membuktikan MPKj mempunyai budi bicara dalam memastikan nasib peniaga terbela.

Sementara itu, menurut Mohd Ridzuan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang campur tangan dalam isu ini.

“Kita ucapan terima kasih kepada YDP MPKj dan timbalannya bermakna ada budi bicara dan mereka dengar rintihan peniaga Sungai Long. Hari ini MPKj dengar rintihan rakyat miskin yang berniaga tepi jalan dan mereka boleh dengar.

“Ada beberapa perkara penglibatan politik ini kalau kita perlu buat laporan polis kita akan buat. Kalau ada terlibat SPRM, kita akan laporan lapor juga kepada SPRM. Setakat ini peniaga yang terlibat adalah bangsa berbilang kaum antara Melayu, India dan majoriti Cina,” katanya ketika hadir di Pasar Pagi Sungai Long.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bandar Sungai Long, Fanny Lim Foong Kuan (dua kiri) berbincang dengan salah seorang pegawai Majlis Perbandaran Kajang berkaitan pemindahan tapak Pasar Pagi Sungai Long di Cheras, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JANUARI 2021.

Awal hari ini, berlalu kekecohan antara 100 peniaga itu dengan pegawai MPKj ekoran arahan menandatangani surat akujanji antara kedua-dua pihak.

Peniaga melahirkan rasa tidak puas hati dengan kluasa dalam akujanji itu yang menyebut mereka diarahkan berpindah ke Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long pada 2 Mac depan.

MPKj hari ini mahu semua peniaga menandatangani surat akujanji pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam akujanji itu, peniaga di kawasan ini hanya dibenarkan untuk berniaga sehingga 28 Februari sahaja ada kesemua mereka diarahkan untuk berpindah ke kawasan baru pada 2 Mac depan. – MalaysiaGazette