Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) boleh berlaku sebelum 1 Ogos ini atau selewat-lewatnya 60 hari selepas itu.

Tan Sri Annuar Musa berkata, memandangkan tempoh itu sudah terlalu dekat, adalah penting bagi setiap ahli dan kepimpinan parti memastikan UMNO memenangi PRU itu.

“Paling utama bagi kita ialah memastikan UMNO memenangi PRU itu atau sekurang-kurangnya UMNO adalah sebahagian pasukan yang menang.

“Oleh itu, tanggungjawab para nakhoda adalah mengemudi ke arah kejayaan, bukan ke arah menghancurkan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Annuar yang merupakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, para juragan perlu terus mendayung, bekerja kuat secara berpasukan untuk membawa parti ke destinasinya.

Beliau turut menasihatkan ahli jangan sombong, bongkak, hasad dengki atau jangan pepat di luar rencong di dalam.

“Berkata benar, berterus terang dan sabar bila difitnah. Insya_Allah kebenaran dan kemenangan menanti di hadapan.

“Yang penting UMNO selamat, kekal diyakini dan disayangi rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kita cuma boleh bekerja dan berusaha, tetapi persepsi pengundi yang melebihi ahli UMNO yang menentukan kejayaan UMNO. Kalau sekarang pun kita berhadapan dengan masalah kepercayaan kepada presiden parti, apatah lagi pengundi. Tiga juga ahli UMNO belum dapat memenangkan UMNO. Presiden UMNO perlu berundur agar persepsi terhadap UMNO dapat dipulihkan. Persepsi UMNO parti orang jahat, dan dipimpin oleh penjahat mesti dibuang dahulu, kemudian barulah UMNO akan dilihat parti orang baik dan dipimpin oleh pemimpin yang baik.

Comments are closed.