Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Sesiapa pun menang jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) tetap akan meneruskan polisi sama, kerana pengaruh zionis menebal dalam diri mereka, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kata beliau, apa yang berbeza bagi seseorang presiden baharu negara itu hanyalah pendekatannya sahaja nampak halus.

“Adapun Joe Biden yang menang akan tetap meneruskan polisi yang sama, kerana turut dipengaruhi oleh zionis.

“Yang kita lihat berbeza hanyalah pendekatannya sahaja. Ia laksana angin bertiup sepoi bahasa yang mampu menjatuhkan kera yang berpaut pada dahan yang kukuh, setelah tidak mampu dijatuhkan oleh ribut taufan yang kuat dan ganas.

“Maka dipilih pendekatan diplomatik yang lembut supaya masuk ke dalam pengaruhnya, dan dapat diletak serta diatur dalam percaturannya,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas, hari ini.

Joe Biden yang mengalahkan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden baru-baru ini, telah mengangkat sumpah jawatan Presiden ke-46 Amerika Syarikat di Capitol, Washington.

Biden, 78, melakukan upacara angkat sumpah itu di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung, John Roberts.

Menurut Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, realiti politik di Amerika Syarikat laksana papan dan buah catur yang sama, hanya sekadar bertukar pemainnya sahaja.

Katanya, semua negara sekadar mahu dijadikan buah catur mereka sahaja, mengikut kehendak pemain dan tidak mampu bergerak sendiri.

“Biden adalah penyokong dasar terdahulu terhadap Israel dan campur tangan ke dalam urusan negara Islam seperti menyerang Afghanistan, mengkhadamkan puak Kurdi di sempadan Turki, Syria, Iraq dan Iran.

“Ini termasuklah penggerak perang proksi di Syria, Libya dan Yaman, memecah belahkan Iraq serta mengepung Iran dan mengugut semua negara yang tidak mengikut kehendaknya,” katanya.

Kata beliau lagi, perubahan jawatan Presiden Amerika Syarikat kepada Biden kerana pendekatan campur tangan dahulu telah gagal, tanpa dapat menguasai keadaan, maka perlu diubah tangan pemainnya.

Menurutnya, Biden tetap meneruskan polisi yang sama, dengan perubahan mengikut keadaan semasa sahaja, khususnya dalam menghadapi kebangkitan semula umat Islam.

“Kini sudah ada negara yang berlumba untuk mendukung siapa yang menang, kerana melihat peluang untuk berpaut dengan negara yang dianggap besar itu.

“Mereka sekadar masih menumpang harapan bagi mengekalkan kuasa di bawah naungan Amerika dan mendapatkan kuasa dengan pertolongannya.

“Peranan Amerika Syarikat dapat dilangsungkan selagi ada manusia yang terus bersedia manjadi khadam mereka, atau meminta untuk menjadi khadam. Kelompok itu pasti akan dipergunakan lagi seperti biasa,” katanya.

Kata Abdul Hadil segala perancangan Amerika Syarikat akan dapat dilakukan, sekiranya masih ada bangsa dan negara yang bersifat masih dijajah pada hakikatnya, walaupun sudah diisytiharkan kemerdekaan sejak beberapa dekad yang lalu.

Mereka ujarnya, masih lagi bergantung dengan pengaruh negara bekas penjajah, walaupun negara penjajah itu sudah gugur satu demi satu di negara masing-masing.

“Ada yang masih bergantung kewangannya mengikut mata wang Dolar Amerika yang tidak diketahui apakah ada cagarannya atau hanya kertas kosong yang dicetak sahaja.

“Ada juga yang masih bergantung dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan bantuan riba Yahudi. Konsep Zionis yang dilaknat oleh Allah,” katanya. – MalaysiaGazette