Beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

KUALA LUMPUR – Malaysia kempunan untuk mempunyai wakil dalam saingan beregu lelaki pada separuh akhir Jelajah Dunia Akhir esok apabila kedua-dua wakil beregunya kandas di peringkat kumpulan hari ini.

Beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas sengit 21-18, 17-21, 11-21 kepada juara dunia tiga kali yang juga pilihan ketiga kejohanan, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia pada perlawanan Kumpulan B.

Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pula terpaksa akur dengan kehebatan pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy selepas kalah 19-21, 18-21 dalam saingan Kumpulan A.

Peminat badminton Malaysia kini meletakkan harapan kepada beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang bakal berdepan cabaran Hafiz Faizal-Gloria Emmanuel Widjaja dari Indonesia sebentar lagi.

Terdahulu, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas mengejutkan pilihan utama dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu 21-13, 21-17 dalam beregu wanita. – MalaysiaGazette