Tidak ada polisi dari MKN menetapkan pengurusan kondominium dan perumahan menjalankan swab test terhadap penghuninya.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menegaskan, tidak ada sebarang polisi Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengatakan sesiapa yang masuk ke kawasan kondominium atau perumahan mesti dilakukan swab test terlebih dahulu.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, jawapan beliau kepada soalan media berkenaan isu itu semalam adalah jelas, tetapi sengaja dimanipulasikan oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Berikutan putar belit dari pembangkang, beberapa persatuan seperti Institut Kemudahan dan Hartanah Malaysia (MIPFM), Institusi Diraja Juruukur Malaysia (RISM) serta Persatuan Penilai, Pengurus Hartanah, Ejen Hartanah dan Perunding Hartanah bagi Sektor Swasta Malaysia (PEPS) telah mengeluarkan kenyataan balas kepadanya.

“Mereka ini telah mendapat maklumat yang tidak tepat, malah saya telah jelaskan bahawa tidak ada polisi daripada MKN mengatakan sesiapa yang ingin masuk ke dalam kondominium atau mana-mana kawasan perumahan mesti dibuat swab test terlebih dahulu.

“Ingin saya jelaskan dengan lebih lanjut, sebenarnya ia adalah berkaitan penyewa warga asing, bukannya rakyat tempatan.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan untuk membuat peraturan menjalankan ujian calitan Covid-19 terhadap warga asing bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan mereka,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19, di sini, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Semalam,dua Ahli Parlimen pembangkang, iaitu Hannah Yeoh (Segambut) dan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), menerusi ciapan Twitternya memaklumkan berhubung keperluan swab test ke atas semua penyewa di kondominium.

Menurut Ismail Sabri, kondominium dan apartment tertutup adalah kawasan ‘private’, yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.

Namun, katanya, terpulang kepada pihak pengurusan kondominium atau mana-mana kawasan perumahan berkenaan untuk menjalankan ujian itu atau tidak.

Malah, mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat masuk ke kawasan kondominium mereka tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Di Sarawak misalnya, ada kawasan rumah panjang yang tidak membenarkan orang luar memasuki rumah-rumah panjang bagi menjaga keselamatan penduduk,” katanya.

Mengenai SOP masjid dan jumlah jemaah, beliau menjunjung kasih ke bawah Sultan beberapa negeri yang telah bertitah mengenai prosedur operasi standard rumah ibadat dan kapasiti yang dibenarkan solat.

Kata beliau, ini selaras dengan kenyataannya sebelum ini, bahawa perihal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri yang dinaungi oleh Sultan.

“Titah Tuanku Sultan-Sultan ini juga jelas menunjukkan keprihatinan baginda yang mengambil berat terhadap kesihatan dan nyawa rakyat. Maka, saya berharap semua pihak menjunjung kasih titah Tuanku Sultan-Sultan dan tidak lagi mempertikaikan SOP masjid,” katanya. – MalaysiaGazette