Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan telah menubuhkan satu Jawatankuasa bernama Pakatan Harapan Immunisation Taskforce yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Menteri Kesihatan dan dianggotai oleh wakil tiga-tiga parti dan semua Exco Kesihatan negeri-negeri Kerajaan Pakatan Harapan.

Penubuhan Taskforce Vaksin ini bagi membantu menyakin dan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 oleh kerajaan, sama ada kerajaan negeri Pakatan Harapan mahupun Kerajaan Pusat dengan semangat bi-partisan.

Selain itu, ia mengembleng tenaga semua wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan membantu dalam  Komunikasi Strategik tentang manfaat vaksin COVID-19, membenteras fahaman anti-vaksin dan koordinasi pelaksanaan imunisasi di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing dan melibat urus dengan pakar perubatan, golongan berkepentingan dan NGO dengan kaedah “whole society approach” dalam memantau dan menjayakan perlaksanaan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Dr Dzulkefly berkata, Pakatan Harapan memahami kesukaran dan kesulitan mengendalikan Program Imunisasi secara menyeluruh dalam masa yang singkat.

Namun kejayaan atau kegagalan program imunisasi  akan menentukan kesihatan rakyat, keupayaan kapasiti kesihatan  dan pemulihan ekonomi negara.

”Demi kepentingan rakyat dan masa depan negara, Pakatan Harapan ingin melangkau jurang politik untuk bekerjasama dengan kerajaan. Kami berharap langkah ini akan menyakinkan rakyat dalam menerima immunisasi.

”Kami juga ingin menyeru Kerajaan Pusat dengan semangat bi-partisan melibatkan wakil-wakil Pakatan Harapan dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV). Penglibatan wakil PH dalam JKJAV akan menghantar mesej kepada rakyat bahawa Pelan Imunisasi Kebangsaan melangkau politik dan mendapat sokongan seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Anggota Pakatan Harapan Immunisation Taskforce termasuk Dr Lee Boon Chye (bekas Timbalan Menteri Kesihatan), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan Selangor), Dr Norlela Ariffin (Exco Kesihatan Pulau Pinang), Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan). – MalaysiaGazette