KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan didesak memberi penjelasan kepada rakyat negeri itu, kenapa tanah milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) boleh dilelong.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kelantan, Ab. Kadir Yaakob berkata, pihaknya difahamkan, urusan lelong tanah itu dibuat berikutan PMBK dikatakan gagal membayar hutang dengan Maybank.
Katanya, Putra Kelantan bimbang dan khuatir mungkin akan ada lagi aset atau harta lain akan mengalami nasib yang sama dengan harta milik PMBK.

“Pelik dan ajaib, ke mana ratusan juta duit kerajaan dibelanja? Atau telah hilang dihanyut air banjir?
“Kereta Mercedes baharu untuk Exco boleh dibeli, bonus Exco boleh dibayar, gaji Yang Berhormat dinaikkan, takkan hutang bank tidak boleh dibayar?
“Saya, selaku Ketua Penerangan Putra Kelantan menuntut Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan barisan Exco Kerajaan Negeri supaya meletakkan jawatan kerana gagal menjaga harta rakyat dan tidak beramanah,” tegasnya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Ab. Kadir menyertakan sekali perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu, Kelantan mengenai jualan Lelong Awam ke atas tanah milik PMBK.
Penjualan lelong iaitu antara Agensi/Institusi Direct di bawah kuasa MB, di mana tanah tersebut digadai kepada Maybank, tetapi tidak membayar hutang pinjaman.
Menurut perintah Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu itu lagi, lelongan awam akan diadakan pada Rabu, 10 Februari ini secara operasi e-lelong di Kompleks Mahkamah Kuantan.
Sebelum ini, pada 13 Mei 2019, satu notis pengisytiharan jualan mengenai lelongan aset PMBK diiklankan melalui akhbar tempatan.
Iklan tersebut menyatakan permohonan lelongan sebanyak 11 lot tanah oleh Maybank selaku plaintif, manakala PMBK sebagai defendan.
Menurut notis tersebut, jualan melalui lelongan awam itu akan dibuat pada 27 Mei 2019 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Lokasi lot tanah berkeluasan kira-kira 12.6 hektar tersebut terletak di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu melibatkan lapan petak tanah komersial, satu petak tanah kediaman, satu petak pencawang elektrik dan satu petak tapak tangki air.
Kenyataan notis tersebut juga menyebut hartanah milik anak syarikat kerajaan negeri Kelantan itu akan dijual dengan harga rizab bernilai RM66.7 juta.
Menurut Ab. Kadir lagi, Kelantan boleh hancur dengan adanya pemimpin tidak beramanah. – MalaysiaGazette

















TERUSKAN SIASATAN.
Lelong tidak semestinya tidak boleh bayar hutang, kadang-kadang kita buat lelong untuk dapat harga melebihi harga pasaran macam tender terbuka juga. harga tawaran paling tertinggi dari harga pembuka akan dapat harta tersebut. Cara ini lebih telus dari cara TH jual tanah secara rundingan terus.