KUALA LUMPUR – Pelabur harus bersikap memilih terhadap ekuiti Malaysia kerana impak dan pemulihan Covid-19 dijangka tidak sama untuk sektor yang berlainan.

Saham bernilai dalam sektor kewangan dan penjagaan kesihatan perlu diberi lebih perhatian kerana telah jauh diatasi oleh ekuiti pertumbuhan dalam sektor teknologi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya pada 2020.

Jika pandemik ini masih berterusan, saham berkaitan pengembaraan akan terus menghadapi rintangan, kata Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi, UOB Malaysia, Ronnie Lim.

“Pemulihan ekonomi global bergantung pada kejayaan pelaksanaan vaksin di seluruh dunia, namun rintangan dalam pengedaran vaksin, kebimbangan terhadap kesan sampingan jangka panjang vaksin dan sentimen anti-vaksin, serta perintah berkurung tambahan di negara-negara yang tidak dapat mengawal gelombang jangkitan baru kemungkinannya akan melanjutkan lagi kemelesetan global.

”Dari sudut geopolitik, ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka akan berlanjutan apabila AS cuba untuk menyekat kebangkitan China.

”Satu lagi risiko utama adalah sekiranya syarikat terus ditutup akibat pandemik, ini akan membawa kepada kemerosotan ekonomi global disebabkan oleh pengangguran yang meningkat dan permintaan yang menyusut,” katanya di sini.

Menurut beliau, pemulihan mungkin terjejas jika kerajaan tidak lagi mampu menyuntik rangsangan ke dalam ekonomi dan membendung virus.

Memandangkan keadaan pasaran yang mencabar akibat penularan wabak Covid-19, Lim berkata, selain melabur secara berkala dalam jangka masa yang lebih lama, pelabur digalakkan untuk mengekalkan portfolio terpelbagai yang baik dengan memilih aset yang berkualiti dan menghasilkan pendapatan untuk membantu mengoptimumkan pulangan pelaburan mereka.

Dengan berbuat demikian, mereka juga dapat menguruskan risiko portfolio mereka secara keseluruhannya memandangkan bahawa pasaran kewangan mungkin akan kekal tidak menentu pada separuh pertama 2021 akibat ketidakpastian mengenai jangka masa dan kesan penuh pandemik global ini.

Tumpuan pada peluang pertumbuhan jangka panjang akan membantu pelabur melindungi nilai portfolio mereka.

Katanya, UOB Malaysia menggunakan pendekatan ‘Risiko Dahulu’ untuk membantu pelanggan menguruskan portfolio kekayaan selaras dengan selera risiko mereka.

Dengan mengamalkan pendekatan ini, pelanggan dapat memahami potensi risiko apa-apa pelaburan terlebih dahulu sebelum pulangan dalam usaha membantu mereka mencapai matlamat kewangan jangka panjang mereka.

Tambah beliau, pelabur dengan toleransi risiko yang lebih rendah harus menumpu pada aset yang lebih stabil dan tidak perlu diimbangkan semula secara aktif.

”Dengan kadar bebas risiko yang begitu rendah, adalah berhemah untuk melabur dalam aset yang dapat menawarkan hasil yang lebih baik. Sebagai contoh, bon bergred tinggi jangka pendek hingga sederhana lazimnya bersifat defensif dan mampu mengharungi tempoh ketidaktentuan yang tinggi, dengan itu berupaya memberikan kestabilan portfolio yang lebih baik kepada pelabur.

”Di samping itu, pelabur mungkin ingin mempertimbangkan bon bergred pelaburan Asia kerana ia menawarkan keseimbangan yang lebih wajar antara sifat defensif dan hasil yang baik (2.0 hingga 2.5 peratus), berbanding Indeks Agregat Global Bloomberg Barclays (0.9 peratus).

”Bon ini juga akan meraih manfaat daripada bermulanya aktiviti ekonomi di rantau ini semasa pandemik,” katanya. – MalaysiaGazette