Bendera Iran, foto Reuters

DUBAI – Kementerian Luar Iran telah menolak sebarang rundingan baharu atau perubahan bagi peserta perjanjian nuklear Teheran dengan kekuatan dunia.

Penegasan itu dibuat setelah Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, setiap rundingan baharu harus disertai Arab Saudi.

“Perjanjian nuklear adalah perjanjian multilateral antarabangsa yang disahkan oleh Resolusi 2231 Majlis Keselamatan PBB, yang tidak dapat dirundingkan dan pihak-pihak di dalamnya jelas dan tidak dapat diubah,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh yang dipetik dari media kerajaan.

Iran didakwa mula melanggar had perjanjian aktiviti pengayaan uranium setelah Washington menarik diri daripada perjanjian pada 2018 di bawah Presiden Donald Trump ketika itu dan mengenakan sekatan ekonomi ke atas Teheran.

Pentadbiran baru Presiden Joe Biden telah mengatakan akan menyertai semula perjanjian tersebut tetapi hanya setelah Tehran kembali mematuhi sepenuhnya syarat-syaratnya.

Tetapi Iran telah menolak tuntutan Amerika Syarikat sehingga Washington menarik semula sekatan ke atas Teheran.

Arab Saudi dan sekutunya Emiriah Arab Bersatu mengatakan negara-negara Arab Teluk harus terlibat kali ini dalam sebarang rundingan bagi mengekang program peluru berpandu balistik Iran dan sokongannya terhadap sekutu-sekutunya di sekitar Timur Tengah. – MalaysiaGazette