Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Stigma dan diskriminasi adalah antara permasalahan yang masih dihadapi oleh pesakit kusta dan keluarga mereka menyebabkan pesakit dan kontak rapat enggan menjalani saringan dan diberi rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masalah ini menyebabkan penularan penyakit kusta menular dalam komuniti.

Sehubungan itu, beliau menyeru setiap anggota kesihatan dan pemimpin masyarakat untuk melibatkan diri di dalam mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kusta khusus kepada komuniti di lokaliti endemik yang berisiko tinggi.

Kegiatan advokasi yang diiringi aktiviti pengukuhan diagnostik, rawatan, latihan dan kebajikan pesakit akan menjadikan kawalan kusta lebih mantap dan lengkap.

”Sama-samalah kita berusaha untuk membasmi atau menipiskan stigma dan diskriminasi yang diyakini menjadi salah satu punca kepada penularan Kusta dalam kalangan keluarga dan komuniti di lokaliti endemik di Malaysia.

”Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk memperkukuhkan semua aktiviti kawalan dan pencegahan dalam setiap aspek di bawah Program Kawalan Kusta Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari Ahad terakhir pada bulan Januari setiap tahun adalah Hari Kusta Sedunia.

Menurutnya, penyakit kusta merupakan salah satu penyakit yang tersenarai sebagai Penyakit Tropikal Terabai dengan kadar prevalen global 0.2 kes bagi setiap 10,000 populasi pada tahun 2018.

Penyakit kusta adalah sejenis penyakit berjangkit kronik yang berpunca daripada jangkitan bakteria yang dinamakan Mycobacterium Leprae boleh dijangkiti melalui udara dan bukan melalui sentuhan.

Selain daripada kulit, kusta menyerang saraf periferal, mata dan tisu-tisu di saluran pernafasan, selaput dalaman hidung dan testis.

Tanda-tanda seseorang dijangkiti kusta adalah lesi (lesion) yang tidak gatal di kulit yang berwarna putih seakan-akan panau salap atau berwarna merah tembaga yang bersisik. Ada juga yang menunjukkan penebalan kulit terutamanya di bahagian bulu kening yang menipis /gugur, tulang pipi dan telinga.

Serangan di saraf periferal pula akan menyebabkan kelemahan otot dan kecacatan kekal di jari, kaki, berasa kebas atau hilang deria sentuhan di lesi kulit.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia telah mencapai tahap eliminasi kusta pada tahun 1994 iaitu dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk.

Untuk rujukan, sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kurang dari 1 kes bagi setiap 10,000 penduduk.

Berdasarkan pencapaian lima tahun, Malaysia melaporkan 198 hingga 213 kes baharu dengan kadar insiden kes kusta di antara 0.57 hingga 0.62 kes bagi setiap 100,000 penduduk dan kadar prevalen di antara 0.02 hingga 0.14 kes bagi setiap 10,000 penduduk. – MalaysiaGazette