Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke sekatan jalan raya (SJR) Sentul dan Tol Gombak serta penyerahan sumbangan makanan di sekatan jalan raya (SJR) Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Individu yang ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berdepan tindakan lebih tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai Khamis ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu kompaun yang lebih tinggi juga bakal dikenakan namun perkara itu masih dalam perbincangan.

“IGP (Ketua Polis Negara) ada menyebut tentang kompaun akan ditambah lebih tinggi dan apabila dibawa ke mahkamah akan dikenakan hukuman yang lebih berat.

“Saya ingin memaklumkan bahawa mulai 4 Februari ini, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi ke atas individu yang melangar SOP kerana kita melihat kes semakin meningkat walaupun kita tahu kes kebanyakan melibatkan pekerja asing kilang dan tapak binaan.

“Apa hukuman itu, mungkin IGP sendiri akan umum sebab ia melibatkan Ordinan Darurat, lagipun Akta sekarang (kompaun) terlalu rendah iaitu RM1,000,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Sekatan Jala Raya (SJR) PKP di Tol Gombak Arah Utara hari ini.

Beliau turut menghulurkan sumbangan makanan kepada anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Ismail Sabri, kompaun sebanyak RM1,000 yang dikenakan kepada mereka yang ingkar PKP adalah terlalu rendah dan usaha untuk menaikkan nilainya memerlukan pindaan Ordinan Darurat dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – MalaysiaGazette