Aung San Suu Kyi. foto Agensi

NAYPYITAW – Aung San Suu Kyi, pemimpin parti Liga Nasional untuk demokrasi Myanmar (NLD) telah ditangkap, kata jurucakap parti itu.

Tangkapan itu dilakukan di tengah-tengah ketegangan antara kerajaan awam dan tentera, yang menimbulkan kebimbangan akan berlaku rampasan kuasa.

NLD memenangi cukup banyak kerusi di Parlimen untuk membentuk kerajaan pada bulan November, tetapi tentera mendakwa undian itu palsu.

Tentera telah meminta kerajaan untuk menangguhkan sidang Parlimen yang akan berlangsung pada hari ini.

Jurucakap Myo Nyunt memberitahu agensi berita Reuters melalui telefon bahawa Suu Kyi, Presiden Win Myint dan pemimpin lain telah “diambil” pada awal pagi.

“Saya ingin memberitahu orang-orang kita agar tidak bertindak balas dengan tergesa-gesa dan saya mahu mereka bertindak mengikut undang-undang,” katanya sambil menambah dia juga akan ditahan.

Wartawan BBC berkata, tentera kini menguasai jalan-jalan utama di sini dan Yangon.

Talian telefon dan Internet di Naypyitaw telah dipotong.

Askar juga mengunjungi rumah ketua menteri di beberapa wilayah dan menahan mereka, kata ahli keluarga.

Pada hari Sabtu, angkatan bersenjata Myanmar berjanji untuk mematuhi perlembagaan ketika kebimbangan meningkat bahawa tentera bersiap sedia untuk melakukan rampasan kuasa. – MalaysiaGazette