Ketua Geng 36 Bukit Belimbing bernama Tan campuran India Cina antara 23 suspek dikehendaki polis dalam kes pergaduhan dua geng yang merebut kawasan jualan dadah di Taman Juara Jaya, Batu 9, Cheras Kajang kelmarin.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 individu telah direman bagi membantu siasatan kes pergaduhan antara geng 08 Sungai Besi Indah, Serdang dan Geng 36 Bukit Belimbing di Kajang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, tujuh daripadanya ditahan di Serdang manakala enam lagi suspek ditahan secara berasingan di Kajang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Beliau turut memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor sedang memburu 23 lagi individu suspek yang sangat dikehendaki dalam kes pergaduhan dua geng tersebut termasuk ketua geng 36 itu yang dikenali sebagai Tan.

‘Salah seorang daripada 23 suspek yang sangat dikehendaki dan sedang diburu polis adalah seorang lelaki berkulit cerah campuran India dan Cina yang merupakan Ketua Geng 36 Bukit Belimbing, Kajang dikenali sebagai Tan (nama sebenar Tan Eng Sun) yang bertatu di dada dan tangan,” katanya.

Foto wajah kesemua 23 suspek yang disyaki ahli kedua-dua geng itu dikeluarkan untuk dikesan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kesemua suspek yang sedang diburu polis itu  berusia  antara 20 hingga 43 tahun.

Mereka berasal dari taman perumahan di Seri Kembangan, Sungai Besi Indah, Balakong, Rawang, Klang dan Johor. -MalaysiaGazette

Rebut kawasan jual dadah punca pergaduhan 2 kumpulan di Cheras – KJSJ Selangor