Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menunjukkan pendaftaran ditolak berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 pada sidang media khas mengenai isu permohonan parti Pejuang dan Muda di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Penolakan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) adalah berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, banyak perkara di dalam Perlembagaan kedua-dua parti yang hendak didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tidak teratur serta tidak spesifik.

“Ada orang buat pertubuhan kerana dia nak buat kasut terompah…jadi kilang buat kasut terompah buat pertubuhan kasut terompah.

“Itu pertubuhan apabila dia nak buat parti dia ada sifat yang berbeza dengan pertubuhan…walaupun ia nampak sama tapi bila pertubuhan parti dia kena ikut perlembagaan negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hamzah berkata, Muda pada mulanya adalah satu tajaan mengikut parti yang diberikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Penubuahan parti Muda boleh diterima namun, nama parti itu perlulah tidak ada bangkangan daripada mana-mana pihak.

Hamzah mendedahkan, Syed Saddiq memang ada bertemu dengannya dan meminta agar beliau meluluskan parti yang didaftarkannya itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana tidak mencampuri urusan kendalian JPPM.

“Syed Saddiq mengatakan dia jumpa saya…betul dia jumpa saya…jumpa saya untuk minta bantu meluluskan parti ini saya kata “no”.

“Saya tak masuk campur memang saya serah bulat-buat kepada JPPM…tiada kena mengena isu dia sokong ke tak sokong…dia sokong Alhamdulillah…tak sokong dia punya pasal..hari ni dia tak sokong..saya pun tak kaitkan dengan penubuhan parti. ,” katanya.

“Kalau kau (Syed Saddiq) dah pandai sangat kau nak daftar, kau bacalah dulu sama ada yang kau baca ni dari segi editorialnya betul ke tidak. Sebab Perlembagaan ini dari segi editorial boleh disalahgunakan…so kena baca itu dulu

“Kau dah pandai dah bijak kau sendiri tak baca tu nak salahkan orang lain,” ujarnya.

Bagaimanapun, setakat ini Hamzah berkata, Pejuang sudah nmengemukakan rayuan manakala parti Muda belum lagi berbuat demikian.

Katanya, parti Pejuang telahpun mengemukakan rayuan dua hari selepas permohonan mereka ditolak iatu pada 6 Januari lepas. – MalaysiaGazette