Aizat Azam

KUALA LUMPUR – Apakah motif Tan Sri Tommy Thomas membuat dakwaan-dakwaan dalam bukunya selepas beliau meletakkan jawatan?

Itu persoalan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Aizat Azam mengenai dakwaan bekas Peguam Negara dalam bukunya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Menurutnya, beberapa dakwaan Tommy dianggap tidak selaras dengan kewajipan kerahsiaan sebagai seorang yang pernah memegang jawatan sebagai Peguam Negara.

“Sekiranya dakwaan-dakwaan tersebut (berkenaan urusan pemerintahan) adalah benar, yang mana adalah dinafikan, dan beliau amat tidak berpuas hati dengan urusan pemerintahan yang didakwa tersebut, beliau sepatutnya meletakkan jawatan beliau dengan segera dan bukannya meletakkan jawatan hanya apabila mengetahui bahawa Kerajaan Pakatan Harapan telah jatuh.

“Tommy juga perlu ingat bahawa beliau mesti melaksanakan tugasnya sebagai Peguam Negara tanpa apa-apa unsur campur tangan badan Eksekutif. Beliau tidak tertakluk kepada nasihat atau keputusan mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri dalam melaksanakan tugasnya sebagai Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, dakwa Aizat, Tommy telah gagal memastikan tiada campur tangan badan eksekutif dalam perlaksanaan tanggungjawabnya sepertimana yang boleh dilihat dalam dakwaan beliau berkenaan isu Zakir Naik.

“Di dalam buku tersebut, Tommy telah mendakwa bahawa terdapat campur tangan Tun Dr Mahathir dalam isu Zakir Naik di mana nasihat Tommy kepada Tun berkenaan dengan prosiding ekstradisi dan pengusiran Zakir Naik tidak diterima dan telah ditolak oleh Tun pada masa itu,” ujarnya.

Pertama, katanya, Tommy tidak perlu mendapatkan nasihat atau kebenaran Mahathir sekiranya Tommy benar-benar ingin meneruskan dengan proses ‘expulsion’ Zakir daripa Malaysia kerana beliau boleh terus menjalankan proses tersebut.

Namun, ini tidak dilakukan, kata Aizat yang juga seorang pengamal undang-undang.

Keduanya, sekiranya Tommy berpandangan bahawa Zakir mesti dan wajar diusir keluar daripada negara dan nasihat beliau kepada Mahathir bagi tujuan tersebut mesti diterima oleh Perdana Menteri kerana Tommy sepatutnya memegang kepada prinsipnya dan meletakkan jawatannya sejurus mahathir menolak nasihatnya.

“Namun, ini tidak dilakukan Tommy walaupun beliau mendakwa bahawa terdapat campur tangan daripada Tun seperti yang dinyatakan, yang mana juga menimbulkan banyak persoalan berkenaan kebenaran, ketelusan serta kesahihan dakwaannya.

“Saya perlu juga menyatakan di sini bahawa dakwaan beliau berkenaan, antara lainnya, kecekapan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara juga adalah amat serius dan beliau perlu memohon maaf bagi membuat dakwaan yang tidak berasas tersebut.

“Tommy tidak seharusnya lupa bahawa beliau, sebagai Peguam Negara, mesti berpegang kepada prinsip bertanggungjawab bersama kepada Jabatan Peguam Negara dan bukannya bertindak dengan membuat dakwaan sebegitu,” katanya lagi.

Sebagai ketua, Tommy seharusnya memimpin dan mendidik pegawai-pegawai di bawahnya dan bukannya bertindak dengan cara menghina mereka.

Tindakan Tommy dalam membuat dakwaan sebegitu merupakan satu penghinaan kepada dirinya sendiri sebagai ketua yang memimpin pegawai undang-undang di bawah pentadbiran beliau pada masa tersebut, dakwanya.

“Saya menggesa supaya Tommy memberikan penjelasan terhadap persoalan yang telah saya bangkitkan dan beliau seharusnya memohon maaf bagi segala dakwaan yang dibuat yang mana telahpun menyebabkan kredibiliti pentadbiran Negara kita dipandang rendah atau hina oleh masyarakat Malaysia dan juga komuniti antarabangsa.

“Akhir sekali, Tommy Thomas sebagai bekas Peguam Negara sepatutnya perlu menulis dengan lebih ilmiah dan bukan bertaraf komik atau satira politik semata-mata, yang mungkin dengan tujuan untuk mencari publisiti murahan bagi menutup segala kelemahan semasa menjadi Peguam Negara,” katanya.- MalaysiaGazette