Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sekali lagi, Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi positif Covid-19 dengan 1,572 kes berbanding dengan 1,145 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata,  kes positif di Selangor meningkat hampir 500 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 1,309 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham juga berkata, negeri Johor mendapat 964 kes posotif Covid-19 dan Kuala Lumpur sebanyak 651 kes.

Selain itu, sebanyak 122 kes yang dilaporkan pula adalah
berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (54 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (41 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (14 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (5 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Tembok Taiping (2 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (1 kes), dan Kluster DTI Sepang 2 (1 kes).

Dalam pada itu, 13 kluster baharu dikesan oleh KKM, hari ini.

Ia melibatkan tiga kluster di Sabah, dua di Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan dan masing-masing satu di Pahang, Putrajaya, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Sebanyak 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan 12 kluster berkaitan tempat kerja dan satu kluster pusat tahanan,” kata Noor Hisham.

Kluster-kluster itu adalah Kluster Jalan City di Sepang dengan 48 kes, KLuster Jalan di Hulu Selangor melibatkan 38 kes, Kluster Jalan Pulai 55 di Johor Bahru dengan 42 kes, Kluster Batu Tiga Setengah di Batu Pahat dengan 19 kes, dan Kluster Taman Koperasi di Kepong dengan 15 kes.

Tujuh lagi kluster tempat kerja adalah Kluster Kandi Sungai Besi melibatkan daerah Cheras dengan 10 kes direkodkan di situ, Kluster Ladang Tangkarason di Beluran pula melibatkan 16 kes, Kluster Bandar Lama di Tawau dengan 24 kes, Kluster Jalan Satu Klip di Tuaran dengan 30 kes, Kluster Mayang Pasir di Pulau Pinang dengan 47 kes positif Covid-19, Kluster Lebuh Karan di Bentong dengan lapan kes, dan Kluster Tapa Bina Presint Tujuh di Putrajaya dengan sembilan kes.

Kluster Tembok Pengkalan Chepa menjadi satu-satunya kluster pusat tahanan yang direkodkan hari ini.

Kluster di Kota Bharu ini melibatkan 79 kes positif Covid-19. – MalaysiaGazette