KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu ambil peduli masalah penderaan terutama kanak-kanak yang melibatkan kehilangan nyawa dan masa depan mangsa.
Selain itu, kementerian berkaitan harus mengambil cakna dengan kes penderaan fizikal, emosi dan seksual yang sering kali berlaku di sekeliling.
Ketua Pergerakan Wiranita Putra Malaysia, Ros Hanita Mohd Basir berkata, sikap membiarkan sebagai amalan dalam kalangan masyarakat hari ini perlu dibendung supaya negara dapat dijaga dari anasir atau perlakuan yang mendatangkan mudarat.
“Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita kematian adik Zubaidi Amir Qhusyari Abdul Malik yang berusia tujuh dipercayai didera. Kematiannya mengundang rasa sedih dan simpati seluruh rakyat, apatah lagi melibatkan ibu kandung dan bapa tiri mangsa sendiri.
“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dalam kalangan masyarakat. Ibu dan bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak yang memerlukan kasih sayang dari mereka.
“Oleh itu, Wiranita Putra berharap pihak berkuasa dapat mendakwa sesiapa sahaja yang terlibat ke atas kes penderaan kanak-kanak seperti ini walaupun puncanya datang dari keluarga itu sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata beliau, pihak bertanggungjawab juga perlu memberi pengajaran kepada si pelaku agar menjadi pedoman dan tauladan kepada masyarakat supaya hal sedemikian tidak dipandang ringan.
Menurut Ros Hanita, masyarakat harus sentiasa peka dengan tangisan dan teriakan atau tangisan yang luar biasa jika berlaku di kejiranan mereka.
“Kerapkan berkunjung dan bertanya khabar sesama kejiranan dan rangkaian yang didapati bermasalah. Jika keadaan meragukan, segera laporkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak berwajib pula jangan ambil masa lama untuk membuat siasatan, segerakan hal-hal yang berkaitan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau juga mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas dan serius berkaitan isu kanak-kanak mengikut Peruntukan Undang-Undang Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, Akta 611 haruslah dipraktikkan sepenuhnya bagi membendung penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak. – MalaysiaGazette
















