TEHRAN – Para kelasi kapal tangki Korea Selatan yang dirampas tentera Iran di Teluk Arab pada bulan lalu akan dibenarkan meninggalkan negara itu berdasarkan sifat kemanusiaan, lapor rangkaran televisyen milik kerajaan Iran.

Jurucakap Kementerian Luar, Saeed Khatibzadeh berkata, bagaimanapun siasatan terhadap kapal tangki dan kaptennya akan terus dilakukan, lapor AP.

Iran kekal dengan pendirian bahawa kapal dan 20 kelasinya ditahan kerana kapal tersebut ‘mencemari alam sekitar’, dakwaan yang dinafikan pemilik kapal berkenaan.

Tehran merampas kapal tangki itu di Selat Hormuz bagi meningkatkan kelebihannya terhadap Seoul dalam rundingan aset Iran yang dibekukan oleh bank-bank Korea Selatan bernilai berbilion dolar berikutan kempen Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan negara tersebut.

Penahanan kapal itu dilakukan sebelum pemimpin Korea Selatan melakukan lawatan di rantau itu, termasuk di Qatar.

Anak kapal, termasuk kelasi Indonesia, Myanmar, Korea Selatan dan Vietnam, ditahan di bandar pelabuhan, Bandar Abbas.

Laporan itu tidak menyatakan sama ada kapten kapal tersebut dibenar meninggalkan Iran atau bila kelasi-kelasi tersebut akan dibebaskan.

Khatibzadeh berkata, Timbalan Menteri Luar, Abbas Araghchi, telah menghubungi Naib Menteri Luar Korea Selatan, Choi Jong-kun membincangkan isu membebaskan aset Iran yang dibekukan itu.

Jong-kun dan delegasinya melawat Tehran pada bulan lalu untuk membincangkan pembebasan kapal itu dan kelasi-kelasinya serta aset Iran berjumlah AS$7 bilion yang dibekukan yang dikaitkan dengan bank di negara tersebut berikutan sekatan AS.

Menteri Luar Iran memberitahu deligasi Korea Selatan itu bahawa pembebasan kapal dan kelasi merupakan bidang kuasa mahkamah dan bukannya kerajaan. – MalaysiaGazette