KUALA LUMPUR – Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) meramalkan ekonomi rantau ini akan berkembang 5.7 peratus pada tahun ini dan 4.1 peratus menjelang 2022 tetapi pertumbuhan tersebut dijangka bersifat tidak sekata.

Unit Sokongan Dasar APEC dalam laporan analisis trend serantau yang dikemaskini, turut menganggarkan penguncupan ekonomi serantau yang lebih rendah sebanyak dua peratus pada 2020, lebih baik daripada ramalan penurunan 2.5 peratus yang dibuat pada November tahun lepas.

Penguncupan 2020 adalah sama dengan kerugian output sebanyak US$1.5 trilion, turun daripada jangkaan US$1.8 trilion sebelum ini, kata APEC dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya.

Pemulihan aktiviti ekonomi pada separuh kedua 2020 dan kesinambungan sokongan fiskal serta monetari oleh ekonomi anggota telah menyebabkan peningkatan kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” katanya.

Menurut Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC Dr Denis Hew, banyak negara di rantau ini sedang berusaha mengurangkan kelembapan ekonomi berikutan pandemik COVID-19 melalui beberapa langkah rangsangan, termasuk sokongan kecairan dan moratorium pinjaman yang diperluaskan kepada perniagaan seperti pemberian tunai dan subsidi meluas kepada isi rumah.

“Langkah-langkah ini merangsang penggunaan domestik kerana ekonomi dibuka semula secara beransur-ansur,” katanya.

Walaupun terdapat sedikit peningkatan pada pertumbuhan ekonomi 2020 dan prospek yang agak optimistik untuk 2021 serta 2022, laporan itu menyatakan pertumbuhan akan bersifat tidak sekata merentasi ekonomi APEC, dengan kecepatan dan kekuatan pemulihan yang sebahagian besarnya ditentukan oleh pengurusan berkesan ke atas pandemik termasuk kejayaan program vaksinasi.

Penyelidik Unit Sokongan Dasar APEC, Rhea C. Hernando, yang mengemaskini laporan itu berkata perbezaan tahap akses serta jadual yang membabitkan vaksinasi sekurang-kurangnya antara 60 peratus dan 70 peratus penduduk akan memberi kesan ke atas tempoh pembukaan semula ekonomi serta sempadan.

Ini akan diterjemahkan ke dalam kelajuan pemulihan ekonomi yang berbeza di seluruh rantau ini, katanya.

Laporan itu menyatakan bahawa beberapa ekonomi APEC boleh mencapai vaksinasi yang meluas pada hujung tahun ini, dengan 10 anggota lain menjelang pertengahan 2022.

“Terdapat keperluan yang mendesak bagi kerjasama yang lebih erat antara penggubal dasar dan sektor swasta untuk mendidik orang ramai tentang keberkesanan setiap vaksin khususnya dalam menangani maklumat yang salah dan menggalakkan pengambilan vaksin yang lebih tinggi,” tambah Hernando.

Unit itu ketika mengulas mengenai perdagangan berkata rantau ini mencatatkan prestasi yang lebih baik pada suku ketiga 2020, dengan nilai eksport barangan dan import menurun pada kadar yang lebih rendah iaitu 2.4 peratus serta 5.7 peratus, masing-masing daripada 16 peratus sehingga 17 peratus pada suku sebelumnya.

“Prestasi yang bertambah baik ini adalah sejajar dengan perdagangan global, disokong oleh pertumbuhan 50 peratus dalam perdagangan bekalan perubatan sejak April 2020,” katanya.

Perkhidmatan komersial bagi eksport menjunam sebanyak 22.9 peratus dan 24.5 peratus membabitkan import bagi tempoh Januari hingga September 2020, sebahagian besarnya disebabkan oleh kerugian dalam sektor pengangkutan dan pelancongan.

Bagaimanapun, peningkatan kerja dari jauh dan rumah juga meningkatkan permintaan untuk peralatan pejabat rumah serta komunikasi, seterusnya, melonjakkan perdagangan dalam sektor ini termasuk pakaian dan tekstil.

“Adalah penting bagi ekonomi anggota untuk mengekalkan rangsangan fiskal dan monetari dalam usaha mencegah kerugian yang lebih teruk dalam pendapatan, tetapi perlu juga mengambil kesempatan daripada peluang digital.

“Jika ruang fiskal membolehkan, ekonomi boleh melabur dalam infrastruktur digital, pekerjaan hijau dan teknologi baharu, di samping memastikan peningkatan kemahiran atau latihan semula tenaga kerja,” kata Hew. – MalaysiaGazette