KUALA LUMPUR – MARA mengesahkan wujud kes jangkitan Covid-19 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong.
Menurutnya, MRSM sentiasa memberikan maklumat terkini kepada ibu bapa dan seluruh kakitangan mengenai situasi sebenar yang terjadi.
Berikutan itu, tidak wujud dakwaan ibubapa tidak diberi apa-apa makluman serta tiada arahan dikeluarkan supaya pelajar mendiamkan diri.
MARA dalam kenyataannya berkata, seramai 38 orang pelajar, lima pekerja dewan selera, enam kakitangan ertugas di asrama dan seorang guru yang didapati sebagai kontak rapat kepada pelajar yang disahkan positif Covid-19 telah menjalani ujian saringan di MRSM bagi mengesan Covid-19.
Kesemua pelajar ini dikuarantin selama 10 hari dan dipantau secara dekat oleh pasukan perubatan Pusat Kesihatan Daerah Bentong.
Bahkan sejak dari awal kes jangkitan dikesan, PKD telah terlibat secara langsung melaksanakan ujian saringan dan menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard keselamatan dan kesihatan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.
Pemantauan secara berterusan telah dilakukan oleh Klinik Kesihatan Bentong dengan membuka klinik bergerak setiap hari di dalam maktab.
Pelajar yang didapati bergejala dan positif telah dibuat pengasingan dan ditempatkan di rumah warden yang telah dikhaskan serta tidak menggunakan kemudahan yang sama dengan pelajar lain.
MARA berkata, kebajikan pelajar adalah fokus utama maktab dalam menghadapi situasi ini dengan memastikan makanan sentiasa mencukupi dan pelajar ini turut dibekalkan makanan tambahan.
Makanan kepada pelajar dihidang secara bungkus dan diserah kepada pelajar di bilik masing-masing oleh petugas.
Malah, MRSM Bentong telah mengambil langkah segera yang sewajarnya dengan menubuhkan Jawatankuasa Bencana Covid-19 MRSM Bentong bagi menguruskan kes yang berlaku.
Dalam masa yang sama pihak maktab terus berhubung dengan PKD berkenaan kes pelajar dan juga pekerja dewan selera, katanya dalam kenyataan tersebut.
Kerja-kerja sanitasi juga telah dilakukan oleh bomba di asrama, bilik kuliah dan sekitar maktab.
Bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran dengan sempurna, pihak maktab turut membekalkan peranti dan gajet yang sesuai kepada pelajar yang memerlukan sebagai kemudahan untuk mengikuti pembelajaran secara atas talian dan membuat persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.
”Pergerakan para pelajar lain turut dikawal, hanya terhad di aras bilik mereka sahaja dan pelajar ditempatkan seorang bagi setiap bilik untuk mempastikan penjarakan dilaksanakan setiap masa.
”Semua langkah ini dilaksanakan atas nasihat PKD dan mengikut SOP keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya.
MARA menegaskan, pengurusan MRSM sentiasa mengikuti SOP yang telah ditetapkan dengan dipantau oleh pihak berwajib dan SOP ini bukanlah ditentukan oleh pihak MARA.
Oleh itu, ibubapa dinasihatkan untuk terus menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang situasi semasa anak-anak. – MalaysiaGazette
















