Hamid Sultan
Hamid Sultan Abu Backer

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) hari ini memutuskan untuk menggantung tugas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer bermula hari ini hingga 27 Ogos 2021.

Keputusan itu dibuat dalam prosiding inkuiri tertutup di Istana Kehakiman Putrajaya petang tadi yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Anggota panel lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat serta dua bekas Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Inkuiri itu diadakan bagi menyiasat dua aduan terhadap Hamid Sultan oleh hakim lain yang membabitkan penghakimannya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso  & satu lagi serta afidavit yang disahkan beliau bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan bapanya, mendiang Karpal Singh.

Hamid Sultan menjadi hakim pertama yang digantung tugas selepas Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 berkuat kuasa.

Peguam Datuk Joy Wilson Appukuttan, yang mewakili  Hamid Sultan, memaklumkan keputusan itu semasa dihubungi Bernama hari ini.

“Kami baru sahaja menerima pengesahan melalui surat bertarikh 4 Februari daripada Pengerusi JEC bahawa JEC berpuas hati bahawa aduan terbabit telah dibuktikan dan Datuk Dr Hamid Sultan digantung tugas mulai hari ini (4 Februari) hingga 27 Ogos 2021.

“Saya perlu mendapatkan arahan daripada Datuk Dr Hamid Sultan berhubung tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Difahamkan, Hamid Sultan akan bersara pada Ogos ini.

Seorang lagi peguam yang mewakili Hamid Sultan, T. Gunaseelan, pula berkata, prosiding inkuiri itu tetap diteruskan tanpa kehadiran anak guamnya.

Beliau berkata, pihaknya telah memohon agar prosiding hari ini ditangguhkan kerana Hamid Sultan kurang sihat dan perlu mengamalkan penjarakan sosial memandangkan situasi pandemik COVID-19 ketika ini.

“Pihak kami juga memohon penangguhan prosiding inkuiri berikutan rayuan bagi menangguhkan prosiding itu akan didengar esok di Mahkamah Rayuan.

“Namun permohonan penangguhan prosiding itu tidak dibenarkan oleh anggota panel terlibat dan prosiding diteruskan,” katanya yang turut memaklumkan bahawa beliau bersama dua lagi peguam Hamid Sultan iaitu Appukuttan dan Dinesh Nandrajog kemudian membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam prosiding itu.

Pada 2 Februari lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya menolak permohonan Hamid Sultan untuk menangguhkan prosiding di hadapan JEC sementara menunggu rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan selepas mendapati beliau gagal menunjukkan sebarang keadaan khas bagi membolehkan penangguhan dibenarkan.

Pada 21 Januari lepas, Hamid Sultan gagal dalam permohonan bagi mencabar tindakan JEC menjalankan prosiding inkuiri terhadapnya secara tertutup selepas Mariana membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap kebenaran untuk semakan kehakiman yang dikemukakan beliau.

Pada 20 Oktober tahun lepas, Hamid Sultan memfailkan permohonan itu dengan menamakan Pengerusi JEC dan JEC masing-masing sebagai responden pertama serta kedua dan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden seperti dalam surat responden pertama bertarikh 28 dan 29 September 2020 berhubung prosiding inkuiri secara tertutup, selain deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah dan batal serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Maimun adalah Pengerusi JEC ketika ini.

Hamid Sultan, dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama semakan kehakiman itu, berkata permohonan tersebut difailkan berdasarkan keputusan responden pertama untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain.

Beliau mendakwa siasatan berhubung salah laku membabitkan hakim tidak boleh dilakukan secara tertutup kerana ia bercanggah dengan prinsip kebebasan kehakiman. – Bernama