Hotel Royal tawar makanan serendah RM2 untuk tanggung kos operasi.

GEORGE TOWN – Beberapa hotel di sekitar bandar raya ini mengambil inisiatif menjual makanan hasil tangan cef masing-masing pada harga berpatutan bagi menampung kos operasi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Bagi menarik perhatian orang ramai, rata-rata pemilik hotel memenuhkan pekarangan hotel mereka dengan tapak jualan makanan termasuk menawarkan perkhidmatan secara pandu lalu.

Orang awam kini boleh menikmati masakan hotel bertaraf empat bintang pada harga berpatutan.

Pendekatan itu terbukti berjaya menggamit kehadiran ramai pelanggan untuk menikmati masakan dan minuman hotel bertaraf empat bintang itu dengan harga serendah RM2.

Pengurus Besar Hotel Royal Penang, Amran Taib berkata, pendekatan itu dibuat sejak 13 Januari lalu bagi memastikan pengurusan hotel tersebut tidak gulung tikar sekali gus mampu menampung kos bayaran gaji 110 pekerja termasuk 16 cef.

Amran Taib

Kata beliau, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pelanggan susulan menu yang dijual memenuhi citarasa tempatan.

Antara menu yang dijual di gerai hotel berkenaan ialah teh tarik, kuih muih, kuetiau goreng, mi goreng dan nasi lemak. Kesemua makanan itu dijual pada harga serendah RM2 hingga RM3 bermula jam 7.30 pagi hingga 10 pagi setiap hari.

“Selain kios pandu lalu pada waktu pagi, kita juga membuka gerai jualan di Kompleks Plaza Penang, Jalan Burma dengan menjual hidangan set nasi tomato, nasi minyak pada harga RM7 bagi sesi tengah hari.

“Menu masakan nasi tengah hari itu akan berubah setiap hari bagi memberi kepelbagaiaan kepada orang ramai untuk menikmati hasil tangan cef kami yang berpengalaman lebih 18 tahun,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hotel Royal di Jalan Larut di sini hari ini.

Tambah Amran, pihak hotel turut menerima tempahan katering daripada orang ramai untuk disumbangkan kepada individu yang memerlukan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Raj Kumar berkata, industri perhotelan secara keseluruhan terjejas teruk apabila kadar penginapan mencatatkan satu digit sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

“Kita jangkakan prospek ekonomi global akan lemah dalam waktu dekat berikutan ketidakpastian dan risiko gelombang baru Covid-19 yang berterusan dalam masa terdekat.

“Pakej rangsangan khusus bagi industri pelancongan dan perhotelan pada ketika ini amat diperlukan untuk mempertahankan kesinambungannya,” katanya menerusi kenyataan di sini. – MalaysiaGazette