Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Semua premis perniagaan dan pusat keagamaan digalakkan memperluaskan konsep FoodBank bagi meringankan beban serta membantu kelangsungan hidup rakyat.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Datuk Razali Idris berkata, masanya inilah konsep FoodBank perlu ditonjolkan pada setiap premis perniagaan yang bukan setakat merangkumi pasar raya berskala besar atau sederhana.

Malah ia turut melibatkan pasar basah, pasar tani, pasar malam, kedai-kedai runcit, restoran, kedai cermin mata, kedai farmasi, stesen minyak dan kedai basikal.

“Walaupun perniagaan dan ekonomi tidak menentu sekarang, ia bukan satu bentuk paksaan kepada setiap premis perniagaan untuk menyediakan ruang FoodBank, tetapi sekadar sebagai satu tanggungjawab terpuji dan bergantung kepada kemampuan masing-masing.

“Selaras dengan usaha murni ini, pusat keagamaan seperti pengurusan surau, masjid, tokong, kuil dan gereja juga boleh menyokong konsep FoodBank ini dengan lebih meluas kerana keberadaan pusat keagamaan ini sangat dekat dalam kelompok komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Razali, langkah proaktif konsep FoodBank ini apabila digerakkan secara bersepadu dalam kalangan warganegara Malaysia akan memberi impak yang efektif kepada kerajaan dalam melaksanakan Program Bakul Makanan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi kerajaan lain.

Konsep FoodBank berlandaskan sikap kesukarelawanan ini membolehkan jiwa kebajikan terus dipupuk dalam kalangan rakyat yang memberikan manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan tidak kira kelompok B40, M40, pelajar dan mahasiswa, OKU (orang kurang upaya), anak-anak asnaf, mangsa banjir, gelandangan serta rumah kebajikan orang tua.

Sikap kebersamaan seluruh rakyat Malaysia bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah satu tanggungjawab terpuji untuk terus tabah dan bersabar dalam mendepani COVID-19 sejak setahun lalu sehingga sekarang, ujarnya. -MalaysiaGazette