nufam
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) dan JabatanTenaga Kerja mempertingkatkan pemantauan di tempat- tempat kerja yang melanggar prosedur operasi standard (SOP)  Covid-19.
Gesaan ini dibuat memandangkan NUFAM masih menerima aduan ada majikan yang memaksa pekerja-pekerja hadir ke pejabat meskipun ada kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan berlaku.
Dalam kenyataannya, NUFAM berkata, keadaan ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan kepada pekerja-pekerja terlibat tetapi memberi risiko ke atas keselamatan kesihatan mereka.
Menurut NUFAM,  ada syarikat atau majikan mahu pekerja mereka hadir ke tempat kerja setelah ujian saringan RTK dijalankan selepas wujudnya kes jangkitan di tempat kerja.
Sedangkan majikan perlu memberi masa antara tiga hingga tujuh hari kepada pekerja untuk memantau kesihatan jika ada gejala Covid-19, bukannya meminta pekerja hadir ke pejabat setelah mendapat hasil ujian RTK yang dijalankan.
Memandangkan, kes jangkitan Covid-19 di tempat kerja mencanak naik sejak kebelakangan ini, isu keselamatan dan nyawa pekerja harus diberi keutamaan oleh pihak berkuasa.
”Terbaharu NUFAM ada menerima aduan berlaku jangkitan dalam kalangan kakitangan yang bekerja di bahagian operasi KLIA yang mengendalikan logistik dan penyediaan sajian makanan kepada penumpang.
”Jika benar wujud syarikat yang tidak mematuhi SOP kerajaan, maka pihak penguatkuasa dari KKM, JTK dan DOSH harus menjalankan siasatan,” katanya lagi.
NUFAM menambah, pekerja juga boleh melaporkan terus kepada jabatan KKM, JTK atau DOSH jika ada sebarang kemusykilan melibatkan isu keselamatan dan kesihatan diri mereka di tempat kerja.
Kesatuan ini mengingatkan majikan yang menyembunyikan maklumat kes-kes Covid-19  maka ia telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA)
Di bawah rang undang-undang ini, majikan boleh didenda sebanyak RM50,000 ke atas bagi kesalahan termasuk membabitkan kegagalan untuk membentuk dasar keselamatan dan kesihatan ditempat kerja.
”Undang undang pun sudah ada, gunakan landasan ini untuk melaporkan isu keselamatan dan kesihatan diri di tempat kerja jika majikan terus lalai atau melanggar perintah kawalan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette