PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Seorang wanita menyaksikan keretanya dipecahkan dua lelaki sebelum melarikan beg tangan yang mengadungi barang kemas dalam kejadian di Taman Permai Jaya, Bukit Mertajam semalam.

Kejadian jam 4 petang itu disedari mangsa berusia 40 tahun selepas terdengar bunyi bising di luar rumah adiknya.

Difahamkan, kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa itu dipecahkan suspek sebaik dia meletakkannya tidak sampai 10 minit di luar kediaman tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kedua-dua suspek itu memecahkan cermin kereta mangsa sebelum melarikan beg tangan yang mengandungi seutas rantai leher dan rantai tangan.

“Mangsa sempat melihat kejadian itu selepas menyedari bunyi bising di luar rumah.

“Bagaimanapun, kedua-dua mereka berjaya melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal sebaik melihat wanita itu keluar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang tampil membuat laporan berhubung kejadian itu dilaporkan masih trauma dan usaha memburu suspek yang terlibat giat dijalankan.

“Mangsa kerugian RM3,000 akibat kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette