Datuk Dira Abu Zahar.
KUALA LUMPUR – Walaupun mempunyai beberapa kelonggaran berbanding dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu namun masih ada lagi industri yang dilihat  tidak mendapat perhatian kerajaan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Khaidirah Abu Zahar berkata, sektor seni kreatif termasuk filem, televisyen, muzik, persembahan seperti konsert dan teater, serta kelas – kelas seni seperti muzik dan tari kini dilihat amat terjejas sekali.
Beliau yang juga anak seni dan popular dengan panggilan Dira memberitahu, sedangkan jumlah pekerja bagi perkhidmatan kesenian, hiburan dan rekreasi adalah sebanyak lima peratus daripada jumlah tenaga buruh negara.
“Industri ini begitu teruk terjejas disebabkan beberapa faktor seperti kekangan untuk menjalankan kerja-kerja seperti ini yang menuntut kehadiran secara fizikal telah membataskan banyak urusan kerja ini.
“Seperti tiada lagi tempat dan ruang untuk para pemain muzik seperti sessionist untuk membuat persembahan, tiada lagi konsert-konsert persembahan di mana-mana ruang pentas, kerja-kerja pengambaran yang juga sama terjejas.
“Malah para pemain persembahan seperti teater berskala besar mahupun kecil, tenaga pengajar pendidikan seni seperti guru tari, guru muzik, pelukis seni halus yang terjejas akibat tiada lagi ruang pameran untuk mereka dan banyak lagi dan semuanya kini sedang mengalami musim yang sangat sukar untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya di sini hari ini.
Aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – Gambar hiasan.
Khaidirah yang Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin menambah, beberapa aspek pembangunan dan aktiviti dalam bidang seni ini telah diletakkan bawah tanggungjawab beberapa agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas)
Namun jelas beliau, agensi kerajaan itu tidak mampu untuk mengawal dan mentadbir kesemua aspek industri dan hanya bertanggungjawab ke atas industri seni produksi filem dan televisyen sahaja.
Malah menurutnya, Finas juga lebih dilihat sebagai badan penguat kuasa dalam industri ini sahaja.
“Masih ramai dan banyak lagi sektor dalam industri seni dan kreatif ini jauh tertinggal daripada menerima perhatian yang sewajarnya daripada pihak kementerian yang terlibat seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dan beberapa kementerian lain yang turut mempunyai bidang kuasa terhadap industri seni dan kreatif tanah air.
“Sebagai salah seorang daripada penggiat seni yang mempunyai pengalaman serba sedikit dalam industri ini, saya amat memahami setiap keluh kesah rakan–rakan dalam indusri ini.
“Maka saya mohon kepada semua pihak yang bertanggungjawab terhadap kemajuan pembangunan industri seni dan kreatif tanah air untuk terus membincangkan secara lebih terperinci tentang hal dan kemaslahan pekerja-pekerja dalam seni ini kerana bidang ini bukan hanya sekadar bidang suka-suka tetapi ianya adalah sebuah sektor yang membantu rakyat untuk menjana pendapatan secara khusus,” katanya.
Konsert artis tidak pernah dianjurkan sejak penularan Covid-19 di negara ini awal tahun lalu. foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2019
Khaidirah berkata, apa yang lebih menyedihkan, kebanyakan golongan ini menjalani kehidupan harian mereka dengan hanya mengharapkan janaan pendapatan melalui kemahiran yang mereka ada ini sahaja.
Jelas beliau, oleh kerana tiada lagi kata putus atau pun langkah-langkah yang diambil secara proaktif oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab untuk membincangkan mengenai prosuder operasi standard (SOP) dalam bidang itu, maka ianya lebih menambah burukkan lagi keadaan ini.
“Bahkan Laporan Tenaga Buruh, April 2020 menyatakan penduduk bekerja telah menurun – 1.0 peratus(156.4 ribu orang) di mana perkhidmatan kesenian, hiburan dan rekreasi adalah paling terjejas.
“Begitu ramai yang telah kehilangan kerja dan sehingga kini, tanda-tanda pemulihan dalam industri ini masih belum ketara walau setahun hampir berlalu,” katanya. – MalaysiaGazette