Lapan bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara berjaya diusir oleh TLDM dalam kejadian pagi tadi. foto TLDM

KUALA LUMPUR – Cubaan lapan buah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara hari ini tidak kesampaian apabila aktiviti mereka berjaya dihidu dan halang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bot- bot nelayan Indonesia itu dikesan menceroboh perairan negara kira-kira 30 batu nautika selatan Pulau Perak semasa kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan rondaan di Selat Melaka Utara pada jam 9.44 pagi tadi.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumur Perak dalam kenyataannya berkata, ketika itu KD Mahawangsa sedang melaksanakan rondaan dalam Operasi (OP) Benteng.

Salah sebuah bot nelayan yang dikesan TLDM di perairan negara. foto TLDM

Menurutnya, sebuah bot pertama dikesan ketika sedang bertambat di boya dalam perairan negara.

”Melihat kehadiran KD Mahawangsa, bot nelayan tersebut segera memotong tali boya dan beredar keluar dari perairan negara.

”KD Mahawangsa seterusnya berjaya mengesan sebanyak lima buah bot nelayan Indonesia yang bertambat di boya haram dalam radius 2 batu nautika dari pengesanan yang pertama pada jam 10.38 pagi dan mengambil tindakan mengusir kesemua bot tersebut keluar dari perairan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Seterusnya, ketika masih melakukan rondaan, kapal tersebut berjaya mengesan dua lagi buah bot nelayan Indonesia pada jam 11.42 pagi dan mengusir segera bot nelayan tersebut keluar dari perairan negara.

”TLDM sentiasa memperkasakan OP Benteng melalui kerjasama pelbagai agensi Maritime Component Commander di bawah National Task Force (NTF) bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada dicerobohi pendatang asing tanpa izin (PATI).

”Kehadiran pelbagai aset keselamatan di laut yang beroperasi 24 setiap hari bagi mengekang kemasukan PATI dan mencegah
penularan pandemik Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.