Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerima pengiktirafan Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) daripada Jabatan Standard Malaysia, baru-baru ini

Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penganugerahan sijil akreditasi ini dapat memartabatkan hasil kajian dan analisa makmal MPOB di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, anugerah ini bagi mengiktiraf kecekapan Sistem Pengurusan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan di Unit Analitikal dan Pembangunan Kualiti, Bahagian Penyelidikan Pembangunan Produk dan Khidmat Nasihat, MPOB.

Kesemua makmal di Unit Analitikal dan Pembangunan Kualiti menjalankan analisa penyelidikan pembangunan yang merangkumi aktiviti pengujian, penganalisaan dan penentusahan termasuklah untuk menangani isu berkaitan keselamatan makanan dan kualiti minyak sawit.

Makmal Keselamatan Makanan yang telah dibangunkan pada tahun 2010, berperanan untuk memastikan keselamatan minyak sawit Malaysia terjamin dari segi mutu dan kualiti selain turut menyediakan perkhidmatan analisa serta khidmat nasihat teknikal kepada pihak industri sawit dan imakanan.

“Berlandaskan matlamat pembangunan Makmal Keselamatan Makanan, kami menitikberat aspek pengurusan kualiti dalam setiap analisa yang dijalankan. Dengan komitmen yang diberikan, Makmal Keselamatan Makanan berjaya memperoleh Sijil Akreditasi Makmal Malaysia yang pertama daripada Jabatan Standard Malaysia pada tahun 2010, iaitu akreditasi ISO/IEC 17025:2005 untuk analisa paraquat atau racun rumpai,” tambah Ahmad Parveez.

Bermula pada tahun 2017, Jabatan Standard Malaysia telah membuat semakan semula untuk penambahbaikan mutu skim ISO/IEC 17025:2005. Aspek analisa risiko telah diperkenal dan diterapkan di dalam pensijilan baru iaitu ISO/IEC 17025:2017. Di samping itu, terdapat penambahan prosedur penting serta klausa baharu diperkenalkan oleh pihak Sijil Akreditasi Makmal Malaysia.

Bagi memastikan Makmal Keselamatan Makanan sentiasa berada di landasan yang betul dalam menawarkan perkhidmatan analisa kepada industri sawit, usaha bagi proses peralihan daripada ISO/IEC 17025:2005 ke ISO/IEC 17025:2017 telah bermula sejak tahun 2018.

Pada tahun 2020, Makmal Keselamatan Makanan MPOB telah berjaya memperbaharui akreditasi ISO/IEC 17025:2017 hasil daripada peralihan ISO/IEC 17025:2005 bagi analisa sisa paraquat. “Makmal telah menunjukkan kecekapan teknikalnya untuk beroperasi sesuai dengan MS ISO / IEC 17025:2017 (ISO / IEC 17025:2017),” kata Dr Ahmad Parveez.

Makmal Keselamatan Makanan MPOB juga berjaya menambah skop akreditasi ISO/IEC 17025:2017 kepada tiga analisa iaitu kandungan klorida; kandungan ester 2- dan 3-monokloropropan-1,2-diol (2- dan 3-MCPDE) dan ester glisidil (GE); serta kandungan elemen surih seperti phosphorus, iron dan copper.

Penambahan skop bagi tiga analisa ini sangat penting kepada MPOB dan industri sawit memandangkan isu kandungan pencemaran 3-MCPDE dan GE, terutama pelaksanaan tahap maksima GE dan 3-MCPDE telah dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah bermula pada Mac 2018 dan Januari 2021, masing-masing. – MalaysiaGazette