Seorang pekerja menampal notis penutupan sementara susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Institut Latihan Memandu Telatin Mewah Sdn. Bhd., Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 233 buah institut memandu di seluruh negara merayu kerajaan membenarkan industri itu beroperasi semula selepas beberapa sektor ekonomi kembali dibuka.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar berkata, pembukaan institut memandu perlu bagi merancakkan kembali ekonomi negara memandangkan industri tersebut berkait rapat dengan beberapa sektor ekonomi lain.

Katanya, penutupan institut memandu dalam tempoh yang panjang meskipun dalam pandemik Covid-19 boleh memberi banyak kesan negatif disebabkan industri itu merupakan salah satu penyumbang kepada pendapatan negara.

“Saya tidak faham kenapa kedai gunting rambut boleh dibuka sedangkan institut memandu yang langsung tidak berkait dengan sebarang sentuhan masih lagi tidak dibenarkan beroperasi.

“Kalau nak diikutkan sehingga kini belum ada lagi kluster yang berkait dengan institut memandu dan langkah tidak membenarkan industri ini beroperasi adalah tidak munasabah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, dengan penutupan yang berpanjangan ia bukan sahaja memberi kesan kepada institut memandu yang berkemungkinan “gulung tikar” sebaliknya, ia turut meninggalkan implikasi kepada negara yang mana beberapa hasil yang boleh dikutip tidak mampu dilakukan.

Sebagai contoh, Mat Aris berkata, mereka yang hendak membeli kenderaan seperti kereta dan motosikal tidak boleh berbuat demikian kerana tidak memiliki lesen.

Akibatnya, kerajaan tidak mendapat pendapatan daripada cukai jualan dan sebagainya.

Begitu juga, kesan turut dirasai oleh rakyat yang mana mereka yang mahu membeli kenderaan untuk melakukan perkhidmatan penting tidak boleh berbuat demikian.

“Cuba kita lihat sekarang ini kerajaan hanya membenarkan perkhidmatan penting untuk beroperasi. Bagi yang kehilangan pekerjaan mereka mungkin mahu mencuba cara lain bagi menggantikan kerja lama dengan terlibat dalam perkhidmatan penting ini.

“Mungkin ada yang hendak menjadi penghantar makanan atau mahu menjadi pemandu kenderaan berat. Mereka tidak boleh beli kenderaan sebab tiada lesen begitu juga dengan mereka yang jadi pemandu kenderaan berat,” ujarnya.

Disebabkan itu, beliau berkata, akan berlaku masalah pengangguran akibat daripada satu perkara yang diremehkan.

Mengulas lanjut Mat Aris mendakwa, pihaknya sebelum ini ada menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar mencadangkan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pembukaan semula industri tersebut.

Malah, surat yang sama turut dihantar kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini agar beliau dapat mempertimbangkan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini kerajaan masih lagi tidak mengumumkan untuk membenar industri berkenaan dibuka semula.

“Dalam hal ini saya menganggap Kementerian Pengangkutan dan JPJ tidak cermat dalam membuat pertimbangan untuk diangkat kepada MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sepatutnya Kementerian Pengangkutan memainkan peranannya untuk membantu industri institut memandu tapi, kami tidak nampak hal ini berlaku,” dakwanya.

Kata beliau lagi, jika institut memandu masih tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh segera ia dibimbangi akan memberi kesan kepada lebih 20,000 pekerja industri itu yang berkemungkinan bakal hilang pekerjaan akibat masalah-masalah tersebut.

Justeru, beliau menyeru kerajaan khususnya MKN untuk mengkaji semula penutupan institut memandu ini dan membenarkan ia kembali beroperasi meskipun terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi dalam usaha memutuskan rantaian penuluran Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette