Kilang Smart Paints Manufacturing Sdn. Bhd di Kawasan Perindustrian Bemban, Batu Gajah. Foto ABDULLAH YUSOF, 9 MAY 2024.

BATU GAJAH – Perak bakal menerima nilai pelaburan RM100 juta susulan pembukaan kilang pengeluaran cat jenama tempatan, Smart Paints Manufacturing Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Bemban, dekat sini.

Pembangunan kilang yang dilengkapi dengan teknologi terkini dan sistem automasi industri 4.0 itu juga dijangka akan mewujudkan 200 peluang pekerjaan baharu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu dapat memperkasakan reputasi negeri sebagai hab inovasi perindustrian, di samping memperkukuhkan ekonomi Perak.

“Pembangunan kilang ini juga adalah cerminan terhadap komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memposisikan Perak pada garisan revolusi industri.

“Ia melalui penglibatan strategik pelabur-pelabur baharu dan sedia ada bagi memangkin dan melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Kilang Smart Paints Manufacturing Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Bemban, di sini pada Khamis.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan kilang Smart Paints Manufacturing Sdn. Bhd di Kawasan Perindustrian Bemban, Batu Gajah. Foto ABDULLAH YUSOF, 9 MAY 2024.

Tambah beliau, pembukaan kilang itu juga memperlihatkan situasi menang-menang antara pihak industri dengan negeri yang kaya dengan sumber mineral.

“Kedudukan Perak yang terletak di lokasi strategik juga membolehkan pihak syarikat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka di negeri bahagian utara dan tengah Semenanjung Malaysia.

“Pembangunan kilang ini sudah tentunya akan memberi nilai tambah kepada sumber mineral negeri bagi menggalakkan pengeluaran produk berkualiti dan mengelakkan sumber-sumber ini daripada hanya dieksport ke luar negara tanpa sebarang proses serta aktiviti hiliran,” katanya.

Menurut Saarani, sebahagaian sumber mineral Negeri Perak telah digunakan oleh syarikat tersebut melalui pengoperasian kilang di Johor dalam penghasilan produk keluaran mereka.

“Susulan daripada itu, InvestPerak yang telah mengambil langkah proaktif bagi meyakinkan pihak syarikat untuk melabur di Perak.

“Ia memandangkan sumber-sumber mineral yang mereka gunakan dalam pembuatan produk yang dihasilkan oleh kilang mereka di Johor datangnya dari negeri ini.

“Setelah melalui beberapa proses perundingan dan konsultasi, akhirnya pihak syarikat bersetuju untuk bertapak di Perak,” ujarnya. – MalaysiaGazette