PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah universiti tempatan adalah antara dua lelaki yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar ibu negara sejak beberapa bulan lepas.

Berikutan tangkapan hasil dua serbuan semalam, polis merampas ganja seberat 1.38kg, serbuk MDMA, 10 biji pil MDMA bernilai lebih RM7,000 dan wang tunai berjumlah RM2,000.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata pensyarah itu ditahan susulan penahanan seorang penganggur berusia 19 tahun di tepi jalan di Kuchai Maju pada pukul 2 petang.

Pensyarah sebuah universiti di Selangor berusia 31 tahun itu ditahan di kawasan Jalan Pahang kira-kira 10.30 malam hari yang sama hasil soal siasat polis terhadap penggangur itu, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata polis merampas satu peket plastik lutsinar disyaki mengandung dadah jenis MDMA ketika melakukan pemeriksaan terhadap penggangur terbabit dan berdasarkan maklumat, bekalan dadah itu diperoleh melalui sebuah laman “Dark Web”.

Hasil siasatan polis percaya penggangur itu melakukan kegiatan mengedar dadah selama lebih kurang  tujuh bulan dan hasil ujian air kencingnya juga didapati positif dadah jenis kanabis.

Kedua-dua mereka direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan

“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti anggota sindiket yang terlibat serta sumber bekalan dadah itu,” katanya.

— BERNAMA