Akmal Nasrullah Nasir

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK Malaysia) menyifatkan Menteri Dalam Negeri sebagai gopoh apabila mahu membuka kertas siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa menghasut, mengancam keselamatan serta ketenteraman negara.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Nasir berkata, kenyataan menteri itu jelas bermotifkan politik apabila hanya Anwar dan beberapa individu sahaja yang akan disiasat sedangkan majoriti Ahli Parlimen telah menghantar warkah yang sama kepada Yang di-Pertuan Agong.

”Ini merupakan suatu tindakan terdesak Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Perikatan Nasional dengan menggunakan modus operandi yang tidak demokratik, memanipulasikan undang-undang dan eksploitasi penjawat awam demi kepentingan politik semata-mata.

”Menteri Dalam Negeri dilihat gopoh dengan mengeluarkan kenyataan politik yang jauh menyimpang daripada intipati sebenar warkah yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya sambil berkata tindakan berbaur ugutan itu sama sekali tidak berasas dan membelakangkan hak Ahli Parlimen untuk menyampaikan warkah bagi mewakili serta menyampaikan hasrat rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tegasnya, tindakan Anwar dan Ahli-ahli Parlimen sudah pasti mempunyai asas perlembagaan yang kuat dengan merujuk Perkara 150 (3) berhubung perisytiharan darurat yang boleh ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Agong atau dibatalkan oleh Parlimen.

Dalam hal ini, kekhilafan kerajaan yang menggantung Parlimen telah menjadikan hanya Yang di-Pertuan Agong sebagai saluran yang boleh menamatkan darurat.

Katanya, Kerajaan PN perlu segera menghentikan budaya ugutan sebegini serta menginsafi banyak tindakan mereka yang telah merugikan rakyat sebaliknya Malaysia perlu berperanan sebagai sebuah negara hukum yang meletakkan undang-undang dan perlembagaan sebagai teras keadilan dalam pentadbiran negara.

Hamzah dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Presiden PKR itu susulan 13 laporan polis yang dibuat terhadapnya di seluruh negara.

Ketua Pembangkang itu didakwa menghasut serta mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Hamzah berkata, bukan sahaja Anwar malah, siasatan turut dibuat terhadap beberapa individu lain yang dilaporkan menentang Pengisytiharan Darurat dan mendesak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkannya. – MalaysiaGazette

Desak Agong batalkan Proklamasi Darurat: Polis siasat Anwar, beberapa individu lain

1 Komen

  1. Ha ye laa… bila kena kat PH suma bermotifkan politik laa… bila kena kat UMNO semua jd betul.. sapa lagi nak pertahankan Bang Non kalau bukan macai dia ye tak…

Comments are closed.