KUALA LUMPUR – Selepas tular akan video mogok pekerja  syarikat kurier membaling barangan pelanggan – hari ini tular pula video permohonan maaf daripada para pekerja terbabit.

Mereka merupakan pekerja syarikat penghantaran J&T Express di Perak dan mendakwa apa yang berlaku tidak ada isu dengan pihak syarikat.

“Kami dari J&T Express Perak. Kebelakangan ini telah tular satu video di media sosial tentang pekerja tidak mengikuti SOP dan mencampak barangan pelanggan.

“Kami ingin memohon maaf dan kami ingin menjelaskan tiada isu dalaman atau pun potongan gaji diantara pekerja dan syarikat J&T Perak.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak ada melakukan tindakan mogok, kami ingin sekali lagi memohon maaf kerana telah menjejaskan nama syarikat serta menjejaskan barangan rakyat Malaysia,” jelas mereka dalam video berkenaan.

Video 56 saat itu menunjukkan tujuh pekerja syarikat penghantaran itu berdiri dan membuat video permohonan maaf beramai-ramai.

Sejak semalam, tular video di media sosial yang menunjukkan sekumpulan pekerja syarikat itu bertindak mogok membaling barangan pelanggan.

Difahamkan mereka bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati terhadap pengurusan syarikat khususnya berkenaan komisen yang diturunkan dari RM1 kepada 30 sen bagi setiap parcel.

Mereka juga dikatakan tidak berpuas hati dengan pembayaran elaun kerja lebih masa memandangkan mereka mengangkat barang dari lori sampai tengah malam setiap hari. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Netizen bengang pekerja kurier mogok baling barang pelanggan