Finas menutup premisnya di Hulu Klang bagi proses sanitasi.

KUALA LUMPUR – Lebih 9,000 penggiat industri kreatif akan menerima manfaat daripada Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) berjumlah RM89.2 juta.

Dalam masa yang sama menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), inisiatif daripada kerajaan itu akan mewujudkan lebih kurang 40,000 peluang pekerjaan melalui 32 program merangkumi empat kategori iaitu filem, muzik, kandungan kreatif digital serta seni visual, persembahan dan kraf.

Sehubungan itu, FINAS mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) atas pelancaran Prisma demi menggerakkan semula ekonomi industri kreatif.

“Prisma merupakan inisiatif jangka pendek bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian para penggiat industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik Covid-19,” kata FINAS menerusi kenyataan.

FINAS berkata, Prisma dilaksanakan melalui tiga strategi utama iaitu memudah cara pembuataan penghasilan kandungan kreatif, mengupayakan kapasiti dan kemahiran penggiat industri kreatif serta menyediakan akses pasaran bagi produk kreatif tempatan.

Antara inisiatif dan program di bawah kategori filem ialah Dana Mikro, Skim Pindaan Milestone Dana Kandungan Digital (DKD), Borneo Pitch @ PRISMA DKD, Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif PELAKSANAAN Fasa 2, Program CreativitiNever Stops dan Creative Business Revival Loan yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 5 Febuari 2021 yang lalu.

Justeru FINAS menyambut baik segala usaha yang memberi manfaat kepada penggiat industri kreatif sekaligus berupaya memacu industri kreatif tempatan ke persada antarabangsa.

Dalam masa yang sama perbadanan berkenaan berharap agar seluruh penggiat industri kreatif dapat menjunjung semangat kebersamaan serta mengeneikan perbezaan pandangan dalam mendepani cabaran dan tekanan ekonomi semasa akibat penularan wabak Covid-19.-MalaysiaGazette