Ashraf Rosli

KUALA LUMPUR – Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang ditamatkan pada Mei 2018 harus diperkenalkan semula oleh kerajaan baharu kerana terbukti berjaya menambah sumber pendapatan negara.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berpendapat, dengan sistem percukaian itu juga sekurang-kurangnya dapat meminimumkan berlakunya punca ketirisan.

Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli berkata, umum tahu, GST adalah cukai yang dikenakan pada setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekal termasuk pengimportan barang serta perkhidmatan.

Ini katanya, membuktikan GST itu merupakan sistem percukaian yang telus kerana setiap transaksi diambil kira dan direkodkan dari pengilang hingga ke pengguna dengan menggunakan satu kadar dan tiada kadar tambahan dikenakan seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada.

Jelas beliau, jika bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berpendapat tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan GST pada 2018 dan menggunakan kaedah lain sebagai ganti, itu merupakan pandangan yang cetek.

“Dari kenyataan ini, kita boleh menilai betapa ceteknya pemikiran beliau. Kita setuju dengan cadangan pengenalan sistem tender terbuka dan wajib dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku rasuah dan ketirisan.

“Tetapi, ia hanya menyelesaikan masalah ketirisan dan penyalahgunaan kuasa, sedangkan kerajaan hilang hasil pendapatan yang boleh digunakan untuk membantu rakyat dan pembangunan negara.

“Pepatah mengatakan, “Marahkan nyamuk, kelambu dibakarnya”, ini adalah contoh ditunjukkan Guan Eng atau secara tersirat beliau sedang cuba mempertahankan peniaga dan syarikat yang mahu mengelak dari membayar cukai,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Khamis lalu, dalam bual bicara anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), Guan Eng dilaporkan berkata, jika PH diberi peluang memerintah sekali lagi, DAP tetap dengan pendiriannya tidak akan melaksanakan GST yang telah dihapuskan pada Mei 2018.

Setiausaha Agung itu menegaskan, pelaksanaan GST menyebabkan berlaku kenaikan harga barang dan antara faktor menyusahkan kehidupan rakyat.

Menurut Ashraf, sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula struktur percukaian tidak langsung yang sedia ada bagi menambah baik sumber pendapatan negara.

“Cukai jualan adalah cukai satu peringkat dan dikenakan sekali sahaja di peringkat pengilang. Cukai perkhidmatan pula dikenakan hanya ke atas perkhidmatan tertentu sahaja.

“Di sini, kita lihat struktur percukaian yang terlalu khusus ini membolehkan segelintir pengimport, pengilang, pemborong tidak mengisytiharkan cukai melalui “pindahan harga” dan secara tidak langsung ketirisan pendapatan kerajaan telah berlaku.

“Oleh itu, Putra mencadangkan kerajaan membentuk jawatankuasa khas yang terdiri daripada pelbagai kaum dan mesti merangkumi pakar ekonomi, pakar kewangan serta pakar percukaian bagi mengkaji serta memberi cadangan yang ampuh bagi implimentasi semula GST demi kepentingan ekonomi dan kewangan negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara yang boleh dilakukan oleh jawatankuasa itu ialah mengkaji semula kadar peratusan cukai GST, iaitu boleh dimulakan dengan kadar rendah dahulu supaya peniaga dan pengguna dapat menyesuaikan diri dengan sistem itu.

“Pembetulan semula skop bagi barangan yang bakal dikenakan cukai GST, yang mana jawatankuasa ini boleh melihat semula jenis barangan yang akan dikenakan GST. Mungkin boleh dimulakan dengan barangan mewah seperti barangan kulit, perkhidmatan hospital swasta, barang kemas, kereta mewah dan sebagainya.

“Secara ringkas, GST boleh dimulakan dengan barangan mewah yang digunakan oleh golongan T20 dahulu, seterusnya kepada M40 dan akhirnya barangan mewah bagi B40. Barangan keperluan asas seperti beras, tepung, telur dan lain-lain boleh dikecualikan dari dicukai,” ujarnya.

Beliau berkata, cadangan dari jawatankuasa khas itu mestilah bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan politik kepartian ataupun kaum. – MalaysiaGazette