Pegawai Tadbir MPAJ, Muhammad Muhaimin bin Murtazar (dua dari kiri), bersama barisan penganjur Raja Tasik Selangor 2026 berganding bahu menjayakan pertandingan itu sekali gus mempromosikan Tasik Pandan Perdana sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan Ampang Jaya.

AMPANG – Patin, toman, haruan, tilapia, keli, baung, belida dan ketutu antara spesies ikan yang dijangka menjadi buruan kaki pancing pada pertandingan Raja Tasik Selangor 2026 di Tasik Pandan Perdana, Ampang Jaya, Ahad ini.

Lebih setahun tanpa pertandingan memancing berskala besar di tasik berkenaan membuka kemungkinan tangkapan bersaiz mega menjadi kejutan pada acara yang menyasarkan penyertaan kira-kira 500 kaki pancing.

Pertandingan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu berlangsung dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan turut membawa mesej pemeliharaan alam sekitar melalui usaha mengeluarkan spesies ikan asing yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem tasik.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, penganjuran itu antara usaha Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menghidupkan kawasan rekreasi, mengeratkan hubungan komuniti serta memperkenalkan Tasik Pandan Perdana sebagai tarikan rekreasi dan pelancongan.

Menurutnya, aktiviti memancing bukan sekadar rekreasi dan pertandingan, malah boleh menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga habitat serta kelestarian sumber perairan.

Tahun ini merupakan tahun kedua kerjasama MPAJ dan Airfour Classic bersama Jawatankuasa Penduduk Zon 21 serta disokong Tourism Malaysia dalam menjayakan program berkonsepkan pertandingan memancing dan pelancongan.

Penganjuran itu turut membawa semangat sambutan ulang tahun ke-34 penubuhan MPAJ yang disambut pada 1 Julai lalu.

Yuran penyertaan ditetapkan RM40 bagi satu joran dengan dua mata kail. Pendaftaran dibuka pada 12 September dari 3 petang hingga 7 malam manakala pada hari pertandingan bermula  6.30  hingga 10 pagi.

Sebanyak 500 helai T-shirt turut disediakan untuk peserta yang membuat pendaftaran awal.

Juara bakal membawa pulang RM4,000, tempat kedua RM1,000 dan tempat ketiga RM500. Peserta di kedudukan keempat hingga ke-80 pula menerima RM70, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.

Penyertaan seramai 500 peserta disasarkan pada pertandingan kali ini.

Pada masa sama, acara itu berpotensi mengetengahkan Tasik Pandan Perdana sebagai produk rekreasi dan pelancongan sekali gus menggalakkan pengunjung meneroka tarikan, makanan tempatan serta aktiviti lain sekitar Ampang Jaya.

Kerjasama MPAJ, Airfour Classic, Tourism Malaysia, komuniti dan pihak swasta diharap dapat menjadikan Raja Tasik Selangor acara beridentiti tersendiri yang menggabungkan sukan memancing, pemuliharaan ekosistem, pembangunan komuniti, ekonomi setempat dan pelancongan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here