Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO berpandangan buku hasil bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy yang bertajuk My Story: Justice In The Wilderness perlu dirampas oleh kerajaan.

Ketuanya, Datuk Seri Noraini berkata, ia kerana buku itu boleh menimbulkan permusuhan antara kaum sekiranya dibiarkan berada dalam pasaran.

“Wanita UMNO sendiri telah meneliti kandungan buku tersebut dan ternyata ia mengandungi petikan-petikan yang berbaur hasutan dan boleh membawa kepada suatu kesalahan di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noraini, semua yang ditulis dalam buku itu bertujuan untuk menghina sistem perundangan negara.

“Tindakan Tommy menerbitkan buku ini sekaligus memalukan malah menghina sistem perundangan negara. Sebagai seorang pengamal undang-undang yang pernah menjawat jawatan Peguam Negara, seharusnya beliau sedar akan akta kerahsiaan dan sumpah janji yang telah dibuat,” tegas Menteri Pengajian Tinggi itu.

Sebelum ini banyak pihak termasuk Wanita UMNO sendiri bertindak membuat laporan polis berhubung buku berkenaan.

Mereka mendakwa kandungan dalam buku berkenaan mengandungi pelbagai fakta tidak betul, menghina, malah menfitnah.

Dalam masa 24 jam sahaja, Polis Johor berkata pihaknya sehingga kini telah menerima 16 laporan daripada pelbagai pihak berhubung penerbitan buku berbentuk memoir bekas Peguam Negara itu.

Polis berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Untuk rekod, Thomas pernah diangkat menjadi Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari tahun lalu semasa pentadbiran Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Gunakanlah peluang yg terbuka luas ini utk mengheret mereka2 yg pernah memprmainkan undang2 Malaysia sewenang2nya ke muka pengadilan.jgn cakap berdegar2 tapi menikus dlm bab ini.Ini baharu permulaan utk memberikan pengajaran kpd sesiapa sahaja yg ada niat menghuruharakan politik Malaysia dgn cara yg salah x berhemah.

Comments are closed.