Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,100 kes positif baharu dan 24 kematian akibat Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Data terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menunjukkan, daripada jumlah itu sebanyak 3,099 merupakan kes penularan tempatan manakala satu adalah kes import.

Menurut KKM, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah sebanyak 51,977 kes.

Turut dimaklumkan jumlah pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 282 kes di mana 134 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

KKM turut memberitahu, sebanyak 24 kes kematian baharu akibat wabak itu hari ini dan setakat ini ia merupakan jumlah tertinggi pernah dilaporkan dalam sehari.

Ia menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia di Malaysia kini mencecah 896 kes.

Dalam pada itu, sebanyak 2,340 kes dilaporkan sembuh daripada Covid-19 dan jumlah keseluruhan yang pulih adalah sebanyak 192,679 kes. – MalaysiaGazette